Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gökhan Ogut.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gökhan Ogut.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Maxis Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM329 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Maxis berkata pendapatannya dipengaruhi oleh susut nilai dan caj pelunasan yang lebih tinggi.

Ia juga dipengaruhi oleh peningkatan sekali sahaja kadar cukai korporat kepada 33 peratus ke atas pendapatan bercukai melebihi RM100 juta untuk tahun taksiran 2022, tambah Maxis.

Bagaimanapun, hasil bagi suku kedua tahun kewangan 2022 meningkat 6.6 peratus tahun ke tahun kepada RM2.42 bilion daripada RM2.27 bilion sebelumnya, disebabkan oleh peningkatan dalam hasil perkhidmatan dan peranti.

Aliran tunai bebas operasi Maxis meningkat sebanyak 40.3 peratus tahun ke tahun kepada RM1.17 bilion berdasarkan inisiatif pengurusan modal kukuh kumpulan, membolehkannya mengisytiharkan dividen interim sebanyak 5 sen bersih sesaham untuk suku itu.

Syarikat telekomunikasi itu berkata hasil perkhidmatannya meningkat 4.3 peratus kepada RM2.08 bilion berdasarkan sumbangan yang lebih baik daripada kedua-dua perniagaan pengguna dan perusahaan.

Hasil pengguna meningkat 4.4 peratus kepada RM1.698 bilion, dengan pertumbuhan yang stabil dalam pascabayar dan kesalinghubungan kediaman, diimbangi oleh penurunan sedikit dalam prabayar. Hasil perusahaan juga meningkat 4.0 peratus kepada RM386 juta, kata syarikat telekomunikasi itu.

Selaras dengan pembinaan asas untuk perniagaan dan mewujudkan momentum, akaun perniagaan perusahaan meningkat 4.0 peratus kepada 89,000 nombor pendaftaran perniagaan pada suku kedua 2022, kata Maxis.

Ketua Pegawai Eksekutif Gökhan Ogut berkata prestasi kukuh syarikat itu dalam semua segmen menunjukkan penekanan tumpuan pada strategi dan ketangkasan, dan kumpulan berkedudukan yang baik dalam pertumbuhan dan landskap telekomunikasi yang kompetitif dan berubah pantas.

Perbelanjaan modalnya untuk suku tersebut berjumlah RM241 juta, meningkat 33.9 peratus tahun ke tahun dengan kumpulan itu meneruskan pelaburan besarnya untuk memberikan prestasi rangkaian konvergen terbaik dan pengalaman pelanggan, meningkatkan kapasitinya untuk menyokong agenda pendigitalan negara.

Sumbangan kepada dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) JENDELA direkodkan kira-kira RM250 juta pada separuh pertama 2022, tambahnya.

Melangkah ke hadapan, Maxis berkata kumpulan itu kekal fokus dan yakin dengan strategi konvergennya menjelang perubahan industri struktur.

"Rekod prestasi kami dalam menawarkan perkhidmatan mudah alih dan konvergen fiber menunjukkan bahawa strategi konvergen kami memberikan hasil. Rangkaian kami yang berbeza, perkhidmatan, tawaran inovatif dan daya tahan kakitangan kami telah memberikan hasil yang mampan," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 6:38 PM