MAJLIS menandatangani memorandum persefahaman MOU antara Pharmaniaga dan Ronnsi. FOTO Amirudin Sahib
MAJLIS menandatangani memorandum persefahaman MOU antara Pharmaniaga dan Ronnsi. FOTO Amirudin Sahib
Alzahrin Alias

Kuala Lumpur: Pharmaniaga Bhd menjangkakan isu kekurangan produk farmaseutikal dalam pasaran kembali normal bermula hujung bulan ini.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Mohamed Iqbal Abdul Rahman berkata, apa yang berlaku ketika ini adalah permintaan terhadap produk farmaseutikal meningkat dengan ketara.

Katanya, ada beberapa produk meningkat sehingga empat dan enam kali ganda berbanding penggunaan pada tahap sebelum pandemik.

Ini menjadikan berlaku kekurangan produk farmaseutikal, yang bukan saja di Malaysia, tetapi beberapa negara lain di dunia.

"Bagi produk pembuatan dari Malaysia, kita perlu menunggu bekalan bahan mentah manakala produk import, bekalan juga mengambil masa.

"Ini bukan disebabkan pengeluaran atau gangguan bekalan tetapi peningkatan permintaan.

"Kumpulan menjangkakan ia kembali pulih pada hujung bulan ini atau Ogos," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan China's Suzhou Ronnsi Pharma Co Ltd (Ronnsi) di sini, semalam.

Ketika ditanya adakah Pharmaniaga meninjau untuk terbabit dalam pembangunan produk penjagaan kesihatan berkaitan ganja, Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, ketika ini ada beberapa pihak berjumpa dan menyatakan hasrat kerjasama pembangunan produk ini.

Beliau berkata, namun ketika ini ia masih di peringkat awal dan kumpulan perlu meneliti dari setiap aspek termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Katanya, kumpulan juga perlu memahami rangka kerja kawal selia berhubung perkara itu sebelum ia boleh mengalihkan usaha ke arah pembangunan produk berkenaan.

"Terdapat beberapa syarikat terutama dari Amerika Syarikat (AS) berjumpa dan berbincang mengenai perkara ini.

"Kami melihat dari setiap aspek sebelum sebarang keputusan dilaksanakan," katanya.

Mengenai jangkaan gelombang keempat pandemik Covid-19 dan kehendak melaksanakan dos penggalak kedua, Zulkarnain berkata, pihaknya bersedia jika kerajaan ingin melaksanakannya.

Katanya, stok vaksin Sinovac masih mencukupi dan tersedia kerana tempoh hayat vaksin dalam simpanan mampu bertahan sehingga penghujung 2023.

"Kami menyeru kerajaan melaksanakan suntikan dos penggalak kali kedua ini dalam masa terdekat.

"Kita masih di fasa pandemik dan ia belum berakhir sehingga disahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 9:00 AM