Orang ramai memilih barangan kemas di Habib Ampang.
Orang ramai memilih barangan kemas di Habib Ampang.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Orang ramai dilihat tidak melepaskan peluang dengan membeli emas untuk dijadikan sebagai perhiasan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri selain sebagai pelaburan.

Trend itu boleh dilihat ketika tempoh Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mula diterima pencarum sejak 18 April lalu.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Habib berkata, trend pembelian emas menjelang sambutan Hari Raya kembali rancak apabila orang ramai mula membanjiri kedai emas untuk membeli barang kemas sejak minggu lalu.

"Apabila wang KWSP diterima, ada pelanggan membeli barang kemas baharu dan ada juga individu menggunakan wang itu untuk menebus semula barang kemas yang digadai.

"Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelanggan, kebanyakan mereka berpandangan bahawa pembelian emas adalah pelaburan yang bijak memandangkan wang itu tidak dibelanjakan sewenangnya dengan barangan lain seperti beg berjenama.

"Pada masa sama, mereka boleh bergaya dengan memakai barang kemas yang cantik pada Hari Raya ini selain menjadikan pembelian itu sebagai pelaburan jangka panjang," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Habib.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Habib.

Meer berkata, meskipun jualan Bazar Ramadan Habib sudah tamat, namun orang ramai masih boleh berkunjung ke bilik pameran Habib di seluruh negara bagi mendapatkan barang kemas dengan tawaran menarik menerusi Kempen Raya diadakan sehingga 15 Mei ini.

Katanya, pelbagai tawaran hebat disediakan untuk pelanggan Habib di seluruh negara sempena Kempen Raya kali ini dengan menampilkan rekaan baharu yang menarik.

"Ini kerana tahun ini kami turut menampilkan rekaan menarik dengan tema balik kampung termasuk pengeluaran siling emas khas keluaran kami yang bertemakan rumah tradisi.

"Pada masa sama, kami juga ada membuat kajian dan menjadikan rekaan songket sebagai tema kerana ia melambangkan budaya Malaysia.

"Pemilihan tema itu sekali gus membolehkan kami di Habib mempromosikan budaya dan tradisi Malaysia yang amat kita banggakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 3:41 PM