MEER Habib melayan pelanggan yang membeli emas di Ibu Pejabat Habib Jewels Ampang. FOTO Hazreen Mohamad.
MEER Habib melayan pelanggan yang membeli emas di Ibu Pejabat Habib Jewels Ampang. FOTO Hazreen Mohamad.
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang: Trend pembelian barang kemas menjelang sambutan Aidilfitri kembali rancak apabila orang ramai mula membanjiri kedai emas untuk membeli barang kemas sejak minggu lalu.

Peningkatan trend itu turut didorong pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mula diterima pencarum sejak 18 April lalu.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib Datuk Seri Meer Habib berkata, jumlah pelanggan dilihat meningkat selepas minggu kedua Ramadan seperti tahun-tahun sebelumnya.

"Sebelum ini, setiap kali menjelang Aidilfitri pasti jumlah pelanggan akan meningkat selepas minggu kedua. Tahun ini pula, peningkatan turut didorong pengeluaran khas KWSP.

"Ini kerana orang ramai mahu kelihatan cantik dan bergaya pada Aidilfitri, selain menjadikan barang kemas sebagai pelaburan masa panjang," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Habib, di sini, hari ini.

Meer berkata, selepas pengeluaran khas KWSP sudah dikreditkan, ada pelanggan yang membeli barang kemas baru.

"Ada juga yang menggunakan wang itu menebus semula barang kemas yang digadai.

"Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelanggan, kebanyakan mereka berpandangan pembelian emas adalah pelaburan yang bijak memandangkan wang tidak dibelanjakan sewenangnya dengan barangan lain seperti beg berjenama," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengadakan jualan Bazar Ramadan Habib yang berlangsung di semua bilik pameran Habib di seluruh negara selama empat hari bermula Khamis lalu semalam hingga esok.

"Bagi Bazar Ramadan Habib kali ini, kami mengetengahkan rekaan baharu dengan tawaran menarik iaitu potongan harga sehingga RM25 segram bagi barang kemas berat kurang lima gram.

"Selain itu, kami juga memberi potongan harga RM12 segram untuk barang kemas lain yang beratnya melebihi lima gram," katanya.

Dengan pelancaran Bazar Ramadan berkenaan, pihaknya turut membuka bilik pameran baharu terbesar berhampiran ibu pejabat syarikat terbabit dengan keluasan 4425 kaki persegi yang mula dibuka, semalam.

"Pembukaan bilik pameran baru ini membolehkan pelanggan kami merasa selesa untuk memilih barang kemas pilihan mereka dengan ruang lebih ruang berbanding hanya satu bilik pameran di sini sebelum ini.

"Pada masa sama, pelanggan juga boleh mengunjungi mana-mana bilik pameran kami di seluruh negara bagi mendapatkan barang kemas dengan rekaan baharu dari kami.

"Selepas berakhirnya penganjuran Bazar Ramadan ini, orang ramai masih boleh mendapatkan barang kemas kami dengan tawaran menarik menerusi Kempen Raya yang diadakan sehingga 15 Mei ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 5:59 PM