Sebahagian produk Nestle.
Sebahagian produk Nestle.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keuntungan bersih Nestle (Malaysia) Bhd (Nestle Malaysia) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, meningkat kepada RM569.81 juta daripada RM552.71 juta disebabkan kecekapan perbelanjaan jualan dan pemasaran yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, ia telah diimbangi oleh kenaikan harga komoditi serta perbelanjaan berkaitan Covid-19 yang ketara.

Pendapatannya meningkat 5.9 peratus kepada RM5.73 bilion berbanding RM5.41 bilion sebelumnya, didorong oleh jualan domestik dan eksport yang lebih tinggi, masing-masing meningkat 6.2 peratus dan 5.0 peratus, kata Nestle Malaysia dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pendapatan sesaham asasnya berjumlah 242.99 sen berbanding 235.70 sen sebelumnya.

Bagi suku keempat, ia mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM112.10 juta daripada RM132.49 juta akibat kesan harga komoditi lebih tinggi dan perbelanjaan berkaitan COVID-19 yang kekal tinggi pada suku berkenaan.

Keuntungan itu turut dipengaruhi oleh kos hanya sekali yang ditanggung akibat banjir termasuk bantuan kewangan kepada pekerja yang terjejas, kos untuk membaiki atau menghapus kira kenderaan yang rosak dan aset perdagangan serta sumbangan kepada komuniti yang terjejas di Lembah Klang.

Pendapatannya pada suku itu, bagaimanapun adalah lebih tinggi sebanyak 7.1 peratus kepada RM1.47 bilion, didorong oleh jualan domestik dan eksport yang lebih tinggi, masing-masing meningkat sebanyak 6 peratus dan 10.8 peratus manakala pendapatan asas sesaham susut kepada 47.81 sen berbanding 56.50 sen sebelum ini.

Syarikat itu telah mencadangkan dividen interim ketiga sebanyak 102 sen sesaham yang akan dibayar pada 19 Mei 2022.

"Melangkah ke hadapan, ketidaktentuan yang berterusan dijangka berlaku apabila pandemik beralih kepada fasa endemik manakala varian baharu kekal sebagai faktor risiko jangka pendek global dan rantaian bekalan global akan terus terjejas. Tidak dinafikan, tahun depan akan kekal mencabar termasuk peningkatan kos komoditi makanan, ia boleh menyebabkan kenaikan harga.

"Agenda kemampanan kami akan mencapai kemajuan seterusnya pada 2022. Sebagai contoh, kami memulakan tahun ini dengan peralihan 100 peratus penggunaan elektrik boleh diperbaharui untuk semua operasi kami di Malaysia, membolehkan kami mengurangkan pelepasan sebanyak 75,000 tan karbon dioksida (CO2) setiap tahun," kata syarikat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 5:38 PM