GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Permohonan BSN MyRinggit-i Banjir dibuka kepada orang ramai yang terdiri daripada mangsa banjir sehingga 31 Januari ini.

Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam satu kenyataan, hari ini, berkata, setakat 25 Januari lepas, BSN sudah meluluskan sebanyak 22,887 permohonan berjumlah lebih RM221 juta.

"Mereka yang terkesan akibat banjir boleh memohon dengan melengkapkan borang permohonan secara dalam talian melalui laman web BSN, www.bsn.com.my dan mengemukakan dokumen yang lengkap serta sahih," katanya.

Dokumen yang perlu dikemukakan ialah salinan Kad Pengenalan; salinan bil elektrik rumah yang terjejas dan surat pengesahan daripada pegawai daerah; jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) atau laporan polis berkenaan rumah yang terjejas.

Katanya, permohonan yang diterima sebelum 31 Januari 2022 yang dilengkapi dengan maklumat yang sahih, dokumen yang lengkap serta menepati syarat-syarat yang ditetapkan akan diproses bagi meringankan beban kewangan mereka.

"Bagaimanapun, pelanggan BSN masih boleh mendapatkan bantuan lain yang ditawarkan seperti penangguhan ansuran bulanan pembiayaan termasuk kemudahan pembiayaan/pinjaman peribadi, perumahan, sewa beli dan kad kredit untuk pelanggan individu serta pembiayaan/pinjaman kepada perusahaan mikro yang terkesan akibat banjir," katanya.

Maklumat lanjut berhubung bantuan ini boleh didapati menerusi laman web www.bsn.com.my atau Pusat Perhubungan Pelanggan BSN, melalui talian 1300-88-1900.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 2:21 PM