GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Bank Simpanan Nasional (BSN) menawarkan BSN MyRinggit Insan-i yang juga kemudahan pembiayaan peribadi di bawah Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula hari ini.

BSN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, BSN MyRinggit Insan-i ditawarkan dalam bentuk pembiayaan peribadi patuh syariah kepada pencarum KWSP berusia 40 hingga 50 tahun yang tidak muflis dengan kedudukan kewangan memuaskan.

"Selain itu, semua permohonan adalah tertakluk kepada penilaian kemampuan pembayaran yang ditetapkan untuk memastikan pemohon berkeupayaan membayar ansuran bulanan pembiayaan.

"Pelanggan yang ingin memohon BSN MyRinggit Insan-i boleh mendapatkan jumlah pembiayaan RM3,000 hingga RM50,000 dengan kadar pembiayaan Kadar Asas Standard berserta (1.75 peratus kadar keuntungan 4.5 peratus setahun) untuk tempoh maksimum pembayaran ansuran bulanan selama 10 tahun atau 120 bulan," katanya.

Katanya, pelanggan boleh memilih pelbagai saluran pembayaran ansuran bulanan melalui pembayaran tunai di kaunter BSN, arahan tetap akaun Giro-i BSN, arahan tetap daripada institusi kewangan lain Pindahan Wang Interbank Giro (IBG), mesin pengeluaran wang automatik (ATM), mesin deposit tunai (CDM) dan myBSN.

"Permohonan BSN MyRinggit Insan-i dibuka secara dalam talian melalui laman web BSN www.bsn.com.my/page/Insan-i," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan bersetuju memperkenal kaedah secara kolateral iaitu menggunakan wang caruman KWSP sebagai cagaran kepada bank untuk membuat pinjaman.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan, dengan cagaran daripada agensi terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 9:55 PM