PROTON tawar pembiayaan istimewa untuk graduan.
PROTON tawar pembiayaan istimewa untuk graduan.
Bisnes HM


KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (Proton) dan Bank Rakyat menawarkan pakej pembiayaan istimewa untuk graduan baharu dan kakitangan kerajaan bagi kereta Proton terpilih yang sah sehingga 31 Disember depan.

Pakej yang terdiri daripada dua jenis kadar pembiayaan itu ialah An-Naqlu 1 yang menawarkan pembiayaan 90 peratus bermula pada kadar 2.88 peratus setahun manakala An-Naqlu 2 pula menawarkan pembiayaan 100 peratus bermula pada kadar 3.30 peratus setahun.

Pengarah Jualan Korporat Proton, Fazli Hisham Shukor berkata, tawaran berkenaan terhad kepada rakyat Malaysia iaitu graduan baharu berusia 20 hingga 30 tahun dan kakitangan kerajaan berusia 18 hingga 60 tahun untuk pembelian Proton Persona, Iriz, Exora dan Saga.

Beliau berkata, tawaran itu adalah satu daripada pelbagai kerjasama khas untuk membantu memudahkan pemilikan kenderaan Proton.

“Di bawah skim istimewa ini, Bank Rakyat menawarkan kelulusan pembiayaan mudah kepada pelanggan, sementara Proton menjadikan tawaran lebih menarik melalui pakej servis percuma hingga dua tahun bergantung kepada model yang mereka pilih.

“Model Saga didatangkan dengan pakej servis percuma selama setahun, manakala Persona dan Iriz pula selama dua tahun yang mana ia termasuk kos pekerja dan alat ganti secara percuma,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 7:14 AM