Roslan (kanan sekali) dan Tengku Zafrul (tiga dari kiri) bersama pengurusan kanan Proton pada pelancaran kempen Proton Rahmah 2023.
Roslan (kanan sekali) dan Tengku Zafrul (tiga dari kiri) bersama pengurusan kanan Proton pada pelancaran kempen Proton Rahmah 2023.
Lizam Ridzuan


Putrajaya: Proton memperkenalkan kempen servis harga berpatutan sebagai menyahut inisiatif kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah menerusi kempen Proton Rahmah 2023.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah berkata, kempen itu menggalakan pemilik Proton menghantar kenderaan mereka ke pusat servis bertauliah yang bermula hari ini hingga 31 Mei hadapan.

"Proton adalah pengeluar kereta pertama yang melaksanakan inisiatif ini.

""Kempen ini meliputi pemeriksaan 40 mata percuma dengan pakej servis berharga RM150 berbanding caj biasa RM200 sebelum ini yang mana kos dikongsi sama rata antara Proton Edar dan pengedar.

"Ia juga sebagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami dan berharap pemilik digalakkan melakukan penyelenggaraan kenderaan mereka sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung," katanya pada majlis pelancaran yang diadakan di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Proton Datuk Seri Syed Faisal Albar.

Kempen ini turut disasarkan kepada pemilik Proton Persona, Iriz, Exora, Saga serta model terdahulu Waja dan Wira.

"Kami menawarkan diskaun 25 peratus untuk minyak enjin semi sintetik, 10 peratus untuk penapis minyak dan gasket serta potongan RM20 untuk kos buruh bagi menarik lebih ramai pemilik mendapatkan penyelenggaraan Rahmah di pusat servis Proton.

"Buat masa ini hanya model yang dinyatakan sahaja tertakluk di bawah kempen Proton Rahmah 2023 kerana ia masih di bawah kawalan secara terus oleh Proton," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 2:49 PM