DR Mohd Uzir
DR Mohd Uzir

Kuala Lumpur: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada bulan Oktober 2021 meningkat 15.3 peratus kepada RM140.7 bilion berbanding bulan yang sama tahun 2020.

Ia dipacu oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik yang mengembang 27.0 peratus, terutamanya dalam industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), bagi tempoh antara Januari hingga Oktober 2021, nilai jualan sektor pembuatan bertambah 15.1 peratus kepada RM1.27 trilion, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pengembangan ini juga didorong oleh subsektor produk elektrik dan elektronik (16.9 peratus) terutamanya dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik serta optikal dan subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (11.8 peratus) yang disokong oleh industri pembuatan produk makanan.

"Nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang menyumbang sebanyak 72.4 peratus daripada jumlah nilai jualan merekodkan peningkatan 17.8 peratus, manakala industri berorientasikan domestik mencatatkan kenaikan 9.3 peratus pada Oktober 2021, berbanding bulan yang sama pada 2020.

"'Pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport adalah selari dengan pertumbuhan dua digit yang dicatatkan bagi eksport perdagangan luar negeri serta faktor harga yang kekal memberangsangkan," katanya dalam satu kenyataan.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport dan domestik masing-masing merekodkan pertumbuhan positif 1.7 peratus dan 10.6 peratus.

Dr Mohd Uzir juga berkata, jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan Oktober 2021 adalah seramai 2.24 juta orang, meningkat 2.4 peratus berbanding 2.188 juta pada Oktober 2020.

Ia disumbangkan oleh produk elektrik dan elektronik (4.9 peratus), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (1.6 peratus) serta produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (2.7 peratus).

Laporan itu turut menyatakan jumlah gaji dan upah yang dibayar adalah berjumlah RM7.52 bilion, meningkat 4.4 peratus atau RM317.3 juta pada Oktober 2021, berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

"Di samping itu, nilai jualan setiap pekerja meningkat 12.6 peratus kepada RM62,781 berbanding bulan yang sama tahun 2020 (Oktober 2020: RM55,747)," katanya.

Sementara itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,357 pada bulan Oktober 2021.

Bilangan pekerja dan gaji dan upah masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.4 peratus (2.24 juta orang) dan 2.6 peratus (RM74.2 bilion).

Nilai jualan setiap pekerja bagi sepuluh bulan pertama tahun 2021 turut mengembang 12.4 peratus kepada RM566,011.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 7:03 AM