AZMIR Merican
AZMIR Merican

SIME Darby Property Bhd menjangkakan prospek positif bagi pasaran hartanah sepanjang tahun ini dengan menetapkan sasaran jualan RM2.6 bilion.

Ia dapat dicapai melalui segmen kediaman dan perindustrian ekoran kelonggaran sekatan di kala fasa endemik, disokong oleh kadar vaksinasi nasional dan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, pihaknya juga berjaya mencapai peningkatan sumbangan daripada segmen perindustrian kepada 31 peratus pada suku pertama 2022 berbanding 23 peratus tempoh sama tahun lalu.

Katanya, ia didorong oleh jualan fasiliti perindustrian yang bertempat di perbandaran utama syarikat di Lembah Klang, dengan baki pencapaian merangkumi pendapatan daripada produk segmen kediaman.

"Syarikat telah mencapai keputusan suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 yang membanggakan dan kami mengekalkan disiplin kewangan serta melaksanakan kejuruteraan nilai dengan prinsip reka bentuk mengikut kos, lantaran peningkatan kos bahan yang dijangka berterusan sepanjang tahun ini serta cabaran kekurangan tenaga kerja buruh, untuk mengekalkan margin dan mempercepatkan proses pembinaan.

"Peningkatan aliran pendapatan berulang serta pengurusan bank tanah (land bank) dan pengewangan syarikat juga penting untuk mengekalkan perniagaan untuk jangka masa yang panjang.

"Justeru, kami optimis mencapai sasaran jualan RM2.6 bilion tahun ini menerusi pengenalan projek kediaman baharu serta kejayaan kumpulan merekodkan pencapaian jualan sebanyak RM888.9 juta untuk suku kewangan pertama ini," katanya pada taklimat media prestasi kewangan suku pertama berakhir 31 Mac 2022 Sime Darby Property secara maya, semalam.

Mengulas mengenai pengumuman syarikat baru-baru ini berkenaan dana pembangunan industri, Azmir berkata, pihaknya sudah memperoleh komitmen awal sebanyak 50 peratus untuk dana pembangunan industri terbabit yang berjumlah sehingga AS$250 juta dan Sime Darby Property menyasarkan ia memberi sumbangan sulungnya kepada syarikat pada separuh kedua 2022.

Sementara itu, mengenai projek mega luar negara, beliau berkata, Battersea Power Station (BPS) kini merekodkan kadar penyewaan komersial dan runcit serta pertumbuhan dari segi jualan kediaman di Fasa 2 dan 3A.

Katanya, ia seiring dengan penyiapan dan pembukaan rasmi BPS pada September ini.

"Setakat ini, lebih daripada 80 peratus ruang runcit dan komersial di BPS telah diserahkan kepada rangkaian penyewa yang berkualiti tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 7:00 AM