PENGASAS Bersama dan Pengarah RinggitPlus, Hann Liew
PENGASAS Bersama dan Pengarah RinggitPlus, Hann Liew
SERAMAI 33 peratus rakyat Malaysia membelanjakan sepenuhnya atau lebih daripada gaji bulanan mereka.
SERAMAI 33 peratus rakyat Malaysia membelanjakan sepenuhnya atau lebih daripada gaji bulanan mereka.

SEBAHAGIAN besar pengguna Malaysia memilih dana kecemasan sebagai sebab utama menyimpan wang selain alasan pencen, melancong dan pembelian harta atau rumah.

Berdasarkan Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus 2021 (RMFLS 2021), 63 peratus daripada responden memilih dana kecemasan sebagai sebab utama mereka menyimpan wang, diikuti dengan pencen (49 peratus), melancong (40 peratus) dan pembelian harta/rumah (38 peratus).

Kajian itu juga mendapati 15 peratus responden menyedari simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak mencukupi untuk persaraan mereka berbanding 30 peratus pada 2020 yang menyatakan simpanan KWSP mereka cukup untuk persaraan.

Namun, hampir separuh daripada mereka ini (45 peratus) belum mula merancang untuk persaraan mereka.

Pengasas Bersama dan Pengarah RinggitPlus, Hann Liew berkata, melalui RMFLS tahun lalu, pihaknya melihat sebilangan besar rakyat Malaysia mula menyedari kepentingan dana kecemasan.

"Tetapi, pandemik yang berpanjangan ini terus mempengaruhi ekonomi dan kewangan rakyat Malaysia setiap hari.

"Kesannya terhadap kebolehan masyarakat menyimpan wang adalah jelas. Tetapi, simpanan wang bukanlah satu-satunya cara untuk menguruskan wang.

"RinggitPlus akan terus berusaha untuk mendidik dan memperkasa rakyat Malaysia untuk mengendalikan kewangan dengan lebih baik melalui cara holisitik yang juga merangkumi pengurusan hutang yang cekap dan cara lain untuk menggandakan wang mereka," katanya dalam kenyataan semalam.

Kajian berkenaan mendapat 3,033 respons dari seluruh negara dan kaedah sampel berstrata dilakukan untuk mencapai 1,518 respon sampel yang mewakili populasi negara Malaysia.

Menurutnya, kajian itu mendapati sebahagian rakyat Malaysia kini berdepan lebih banyak kesukaran untuk menyimpan wang pada setiap bulan.

Sebanyak 52 peratus responden berjaya menyimpan kurang daripada RM500 sebulan atau tidak dapat membuat sebarang simpanan, dan ia satu peningkatan berbanding tahun lalu (49 peratus).

Sementara itu, 21 peratus pula bergantung sepenuhnya kepada gaji yang diberi pada hujung bulan kerana mereka tidak mampu menyimpan wang setiap bulan.

Namun, seramai 76 peratus rakyat Malaysia beranggapan kewangan mereka adalah terkawal. Daripada jumlah ini, 33 peratus masih membelanjakan sepenuhnya atau lebih daripada gaji bulanan mereka.

"Bagaimanapun, rakyat Malaysia mula memandang serius mengenai penyimpanan wang untuk kecemasan semenjak pandemik melanda.

"Selain daripada simpanan, rakyat Malaysia bersikap lebih terbuka mengenai cara menggandakan dana mereka melalui pelaburan automasi seperti matawang kripto dan penasihat robo. Hampir separuh (49 peratus) daripada rakyat Malaysia menyatakan yang mereka tertarik atau mahu melabur dalam matawang kripto," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 7:00 AM