HANYA 10 peratus individu di Malaysia memiliki lebih daripada empat kad.
HANYA 10 peratus individu di Malaysia memiliki lebih daripada empat kad.

Kuala Lumpur: Pemilikan kad kredit menurun pada tahun ini di mana 45 peratus pengguna tidak memiliki sebarang kad kredit berbanding 35 peratus pada tahun lalu.

Malah, jumlah individu yang memiliki lebih dari satu kad kredit juga merosot di mana 45 peratus mempunyai satu hingga tiga kad, berbanding 51 peratus tahun lalu sementara hanya 10 peratus memiliki lebih daripada empat kad (14 peratus pada tahun lalu).

Dalam Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS 2021) membabitkan lebih 3,000 responden seluruh negara, ia turut mendapati penggunaan e-dompet tetap tinggi di Malaysia pada kadar 89 peratus.

Malah, 36 peratus menggunakan lebih daripada tiga e-dompet berbeza untuk pembayaran mereka.

"Selain itu, walaupun terdapat usaha untuk mendorong pengguna membeli insurans dalam talian, majoriti responden (65 peratus) masih memilih untuk membeli melalui ejen," kata kajian berkenaan.

Menurutnya, hasil kajian turut mendapati belia dan golongan milenial (18 hingga 35 tahun) masih memerlukan pertolongan untuk menguruskan kewangan mereka.

"Ini kerana 24 peratus responden dari kelompok ini tidak mempunyai wang mencukupi untuk bertahan melebihi sebulan.

"Sebanyak 57 peratus tidak dapat bertahan lebih dari tiga bulan, manakala 45 peratus membelanjakan sepenuhnya atau lebih daripada gaji bulanan mereka.

"Bagaimanapun, golongan ini lebih celik digital dan lebih daripada separuh (63 peratus) belia mahu atau tertarik untuk melabur dalam matawang kripto," katanya.Dalam kalangan mereka yang melabur dalam mata wang kripto, sebanyak 72 peratus melabur dalam Bitcoin (BTC), Ether (55 peratus), Ripple (50 peratus), kemudian diikuti Litecoin (32 peratus).

Majoriti atau 73 peratus menggunakan Luno untuk melabur dalam mata wang kripto.

Menurutnya, berdasarkan kajian berkenaan, ia mendapati tiada perubahan ketara dalam tingkah laku kewangan peribadi masyarakat Malaysia namun rakyat Malaysia semakin kurang menyimpan yang mungkin berpunca daripada kesan ekonomi Covid-19.

"Hanya 15 peratus responden dapat menyimpan RM1,500 ke atas setiap bulan, penurunan dari angka 20 peratus pada tahun 2020.

"Separuh daripada responden menyatakan mereka tidak akan bertahan lebih dari tiga bulan sekiranya kehilangan pekerjaan manakala, 44 peratus membelanjakan sepenuhnya atau lebih daripada gaji bulanan mereka, hampir sama dengan 43 peratus yang diperoleh pada 2020.

"Sebanyak 21 peratus responden pula telah mengambil atau merancang untuk mengambil moratorium pinjaman, dua kali lebih tinggi daripada anggaran industri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 8:04 AM