BAYU Sutera
BAYU Sutera

FASA pertama projek pembangunan Bayu Sutera yang dimajukan Matrix Concepts Holdings Bhd merekodkan 95 peratus tempahan dalam tempoh dua minggu, sejak dilancarkan Ogos lalu.

Dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 bilion, ia dimajukan di atas tanah berkeluasan 87.4 hektar dan menawarkan 2,043 unit rumah teres dua tingkat pegangan bebas di sembilan presint.

Projek berkenaan terletak di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Lim Kok Yee berkata, projek ini memfokuskan aspek penciptaan nilai berdasarkan kualiti, reka bentuk moden dan fungsi serta pembangunan bandar lestari.

"Rumah Celyn @ Bayu Sutera berharga dari RM529,000 ke atas dan berdasarkan data, 61 peratus pembeli rumah berasal dari Kuala Lumpur dan Selangor.

"Sejumlah 26 peratus adalah penduduk Negeri Sembilan, sementara selebihnya dari negeri lain. Ini bererti permintaan rumah-rumah kami masih tinggi walaupun pasaran hartanah secara keseluruhan masih lembap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 7:20 AM