Wakil MR DIY menyampaikan sumbangan PPE di Hospital Pakar  Sultanah Fatimah, Muar, Johor.
Wakil MR DIY menyampaikan sumbangan PPE di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor.
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia, MR DIY Group (M) Berhad mengambil inisiatif menyumbangkan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada 136 pusat perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kecemasan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY, Adrian Ong berkata, sumbangan PPE yang bernilai lebih RM432,000 itu adalah usahasama dengan Malaysia Relief Agency (MRA).

"PPE berkenaan disalurkan oleh rangkaian logistik milik MR DIY kepada ibu pejabat polis daerah (IPD Daerah), klinik kesihatan dan pusat kuarantin terpilih di seluruh Semenanjung Malaysia.

"MRA membantu mengenal pasti perkhidmatan yang paling memerlukan bantuan serta mengatur pengedaran peralatan berkenaan di Sabah dan Sarawak," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, program ini adalah sejajar dengan program tanggungjawab sosial korporat yang ke-62 dilaksanakan oleh MR DIY sejak pandemik bermula awal tahun lalu.

"Kami berterima kasih kepada MRA atas kerjasama dalam menjayakan inisiatif sumbangan ini.

"Sebagai warga korporat yang prihatin terhadap tanggungajwab sosial, kami ingin membantu rakyat dan negara menerusi usaha-usaha yang bermakna.

"Kami memanfaatkan hubungan perniagaan dengan pengilang global dan sistem logistik bagi memastikan bekalan yang mustahak dapat disalurkan kepada golongan yang paling memerlukan," katanya.

Katanya, pihaknya berbangga dengan pasukan logistik dan operasi MR DIY dalam mengedarkan barang keperluan dengan pastas kepada 136 organisasi di seluruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 6:28 PM