SEKTOR penerbangan dan pelancongan terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19 yang masih menghantui penduduk dunia.
SEKTOR penerbangan dan pelancongan terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19 yang masih menghantui penduduk dunia.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Pandemik Covid-19 yang masih menghantui penduduk dunia menyebabkan sektor penerbangan dan pelancongan terjejas teruk kerana tidak banyak perjalanan dapat dilakukan.

Namun, keadaan ini dijangka mencetuskan 'penerbangan balas dendam' atau revenge flying selepas sektor ini mula dibuka kelak khususnya dengan peningkatan jumlah pemberian vaksin setiap hari.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya yakin 100 peratus untuk menawarkan promosi tanpa had selepas sektor penerbangan mula dibuka nanti.

"Kami akan jalankan promosi agresif bagi memberi peluang kepada penumpang AirAsia memulakan perjalanan mereka semula.

"Banyak promosi perjalanan tanpa had akan diperkenalkan dan ia akan dibuat setiap hari," katanya ketika sesi temu bual eksklusif bersama media Malaysia.

Menurutnya, apa yang paling utama adalah untuk memastikan semua pesawat AirAsia kembali beraksi.

"Untuk mencapai sasaran ini, perkara paling penting adalah memastikan usaha vaksinasi dapat dijayakan dengan baik," katanya.

Sementara itu, Tony berkata, beliau yakin perkhidmatan digital AirAsia Group mampu mengatasi perniagaan penerbangan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Katanya, AirAsia tidak pernah berhenti untuk terus berkembang dalam perniagaan penerbangan dan digital, walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk pandemik Covid-19.

"Ketika memulakan operasi AirAsia ada pihak yang memandang rendah kemampuan kami. Namun, kami berjaya muncul sebagai jenama terkemuka bagi rantau ini.

"Begitu juga dengan perniagaan digital, kita tidak tahu sejauh mana perkembangannya pada masa hadapan tetapi kumpulan tidak pernah berhenti berusaha.

"Pasaran digital wujud, begitu juga dengan permintaan, malah kami mempunyai data yang besar dan komprehensif.

"Justeru, AirAsia Digital akan terus kukuh dan menjadi gergasi digital di Asean dan global," katanya.

Menurutnya, AirAsia kini menyasarkan sumbangan 50:50 pendapatan perniagaan digital dan penerbangan.

"Kekuatan perniagaan digital AirAsia adalah pada ekosistem perniagaan menyeluruh yang dilaksanakannya bermula dari penghantaran makanan, perladangan, teknologi kewangan (fintech) sehingga kargo," katanya.

Minggu lalu, Airasia Digital, cabang digital Airasia Group dan Gojek, platform perkhidmatan dan pembayaran mudah alih terkemuka di Asia Tenggara mengumumkan kerjasama pengambilalihan operasi Gojek di Thailand oleh Airasia Digital.

Kerjasama itu dijangka dapat mengembangkan Airasia Super App di Asean dan pada masa sama meningkatkan pelaburan Gojek dalam operasinya di Vietnam dan Singapura.

Melalui kerjasama ini juga, Gojek akan menerima pegangan saham dalam Airasia Super App yang kini bernilai AS$1 bilion (RM4.16 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 7:01 AM