Allahyarham Salkukhairi Abd Sukor.
Allahyarham Salkukhairi Abd Sukor.
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Peguam Hartanah yang juga Timbalan Presiden, Pertubuhan Kebajikan dan Literasi Undang-undang Malaysia (K-Literasi), Salkukhairi Abd Sukor, menghembuskan nafas terakhir, hari ini.

Menurut Presiden Hartaguam Datuk Nazri Mustafa, Allahyarham yang berusia 45 tahun adalah seorang yang suka membuat kebaikan melalui perkongsiannya di media sosial berkaitan berkenaan undang-undang dan hartanah.

"Arwah Salkukhairi sentiasa mencari peluang dan platform untuk menyampaikan sesuatu kebaikan kepada masyarakat.

"Sekiranya tiada halangan dan keputusan hospital keluar, insyaAllah arwah akan dikebumikan esok," katanya, ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, sahabat Allahyarham, Redzuan Idrus, 44, mendapat maklumat daripada sahabat dari Kuantan, Pahang mengenai kematian arwah Salkukhairi.

"Saya difahamkan Allahyarham ada mengadu tidak sedap badan kepada isteri selepas Subuh pagi ini dan dibawa ke hospital menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan.

"Namun, punca arwah menghembuskan nafas terakhir belum dikenal pasti," katanya.

Menurut Redzuan, Allahyarham Salkukhairi seorang yang menjaga kesihatan sepanjang hidupnya.

Mengenali arwah daripada zaman universiti, Redzuan berkata, Allahyarham adalah seorang yang mempunyai pertuturan yang lembut, namun tegas.

Allahyarham Salkukhairi meninggalkan seorang balu bersama lapan orang anak.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham juga banyak membantu Harian Metro berkongsi maklumat berkaitan undang-undang dan isu hartanah.

Harian Metro mengucapkan takziah kepada keluarga dan sahabat Allahyarham.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 5:53 PM