MAXIS terus membina momentum ke arah pertumbuhan pada suku kedua 2021.
MAXIS terus membina momentum ke arah pertumbuhan pada suku kedua 2021.

Kuala Lumpur: Keuntungan bersih Maxis Bhd merosot kepada RM334.0 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021 daripada RM357.0 juta pada suku yang sama pada tahun lalu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan komunikasi itu berkata, hasil susut 4.8 peratus kepada RM2.228 bilion pada suku berkenaan daripada RM2.341 bilion sebelumnya.

Hasil perkhidmatan berkurangan RM10 juta, sebanyak 0.5 peratus kepada RM1.959 bilion berbanding RM1.969 bilion pada suku pertama 2020.

"Ini sebahagian besarnya disebabkan kadar dail terus antarabangsa (IDD) yang lebih rendah dan kekurangan sementara hasil perayauan antarabangsa diimbangi oleh pertumbuhan dalam perusahaan dan perniagaan fiber," katanya.

Maxis dalam satu kenyataan berasingan berkata, ia terus membina momentum ke arah pertumbuhan pada suku kedua 2021 dengan mencatatkan kenaikan keuntungan selepas cukai meningkat 4. 7 peratus daripada suku keempat 2020 meskipun dalam persekitaran mencabar yang disebabkan oleh pandemik.

Keuntungan selepas cukai, bagaimanapun merosot 6.4 peratus berbanding suku pertama 2020 disebabkan oleh susut nilai pelaburan teknologi maklumat (IT) yang lebih tinggi.

Sementara itu, Maxis mengisytiharkan dividen interim empat sen bagi suku berkenaan bagi membolehkan syarikat melindungi perniagaan utamanya sebagai persediaan untuk peluang yang bakal timbul dari pemulihan ekonomi.

"Bersama dengan rangkaian kami yang berbeza, inovasi produk dan warga Maxis yang komited, kami akan terus melayani individu, kediaman dan perniagaan dan membantu mereka berkembang dalam norma digitalisasi yang dipercepat ini," kata ketua pegawai eksekutifnya Gokhan Ogut.

Mengenai prospek masa depan, syarikat itu berkata, ia tidak mendedahkan prospek kewangan bagi tahun kewangan 2021 berikutan persekitaran yang tidak menentu seperti kadar pengangguran yang tinggi sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan, prospek pertumbuhan keluaran dalam negara kasar, gelombang ketiga Covid-19 dan program pemberian vaksin.

"Lanjutan moratorium pembayaran balik pinjaman hanya kepada kumpulan yang disasarkan mulai 20 Oktober, 2020 mewujudkan persekitaran yang tidak menentu bagi perniagaan kami pada tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 7:01 AM