MOHAMED Azmin
MOHAMED Azmin

KERAJAAN memperkenalkan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) berteraskan lima parameter yang akan memainkan peranan penting memacu daya saing dan memastikan Malaysia kekal menjadi destinasi pelaburan pilihan dunia.

Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, lima aspirasi itu akan menjadi asas kepada Malaysia untuk menjadi hab pelaburan serantau.

Parameter pertama, katanya, merangkumi usaha meningkatkan kepelbagaian dan ekonomi yang kompleks melalui pengembangan produk dan perkhidmatan yang canggih, dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan inovasi tempatan yang tinggi.

"Mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk memberikan pendapatan yang lebih baik bagi rakyat; memperluas dan mengintegrasikan hubungan domestik ke rantaian bekalan serantau dan global dengan meningkatkan daya tahan mereka.

"Mengembangkan kluster baharu dan sedia ada yang memberi tumpuan kepada sektor produktiviti tinggi termasuk produk dan perkhidmatan tempatan; serta meningkatkan keterangkuman untuk menyumbang ke arah agenda pembangunan sosio-ekonomi," katanya dalam satu kenyataan.

Kabinet, sebelum ini, meluluskan dasar baharu itu yang akan bertindak sebagai kerangka pertumbuhan ke depan yang akan menjadi asas bagi pembaharuan menyeluruh terhadap dasar pelaburan Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, NIA akan menjadi pusat untuk mencergaskan kembali iklim pelaburan Malaysia.

Ia juga, katanya, bertujuan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi ke dalam negara dan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, terutama pada era pasca-Covid.

"Miti diberi tanggungjawab menerajui usaha ini di peringkat nasional untuk mengkaji semula dasar dan menyusun kembali strategi pelaburan negara seperti yang dimandatkan oleh NIA.

"Melangkah ke depan, Malaysia mesti menggunakan pendekatan komprehensif untuk menghidupkan kembali ekosistem pelaburan dan memberi tindak balas yang secukupnya terhadap trend mega yang baru muncul serta keperluan pelabur yang terus berkembang.

"Malaysia perlu menghadapi cabaran ini dengan terus meningkatkan nilai unik negara, merangkumi pelbagai elemen seperti insentif, bantuan, bakat, infrastruktur, serta mekanisme undang-undang, peraturan, prosedur dan institusi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 7:10 AM