Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri) menerima kunjungan hormat Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat Gina Raimondo (dua, kanan) di pejabatnya di bangunan parlimen. Turut hadir Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri). - FOTO Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri) menerima kunjungan hormat Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat Gina Raimondo (dua, kanan) di pejabatnya di bangunan parlimen. Turut hadir Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri). - FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berhasrat untuk memulakan perbincangan mengenai Memorandum Kerjasama (MoC) berkaitan isu rantaian bekalan, dengan matlamat untuk dimeterai pada awal 2022.

"Berdasarkan peranan penting Malaysia dalam rantaian bekalan global untuk semikonduktor, elektronik, produk kesihatan dan barangan utama lain, pengumuman ini merupakan langkah pertama yang penting dalam menjalin kerjasama dalam cabaran rantaian bekalan semasa dan jangka panjang untuk kedua-dua negara kita dan ekonomi global," menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat Gina M Raimondo hari ini.

Menurut kenyataan bersama itu, Azmin dan Raimondo mempengerusikan bersama mesyuarat meja bulat semikonduktor hari ini sempena lawatan beliau ke Malaysia.

Katanya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Jabatan Perdagangan AS merancang untuk bekerjasama dengan rakan industri dalam ketelusan, keselamatan dan daya tahan rantaian bekalan semikonduktor.

"Kedua-dua negara akan turut bekerjasama dengan rakan industri AS dan Malaysia untuk membangunkan lebih ketelusan dan kepercayaan dalam sektor pembuatan dan berkaitan pembuatan serta rantaian bekalan mereka," katanya.

Azmin dan Raimondo berkata dalam memperkukuh daya saing jangka panjang, Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) Malaysia akan memacu pembaharuan yang menyeluruh yang menggalakkan pembolehubah pekerjaan bernilai tinggi, teknologi tinggi, pengetahuan, modal, berteraskan kemahiran dan berpendapatan tinggi.

"Dalam semangat ini, kami berhasrat untuk bekerjasama dalam bidang yang struktur bekalan saling memberi manfaat wujud antara Malaysia dan AS.

"Ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada, produk yang mengurangkan perubahan iklim, perdagangan digital, peranti perubatan dan elektronik," katanya.

Katanya Malaysia telah mengenal pasti industri tenaga dan alam sekitar sebagai sektor strategik yang akan mengukuhkan asas utama pertumbuhan mampan.

"Oleh itu, kami percaya kerjasama AS-Malaysia yang kukuh akan membantu kedua-dua negara mencapai potensi maksimum untuk pertumbuhan bersama yang teguh," katanya.

Mengenai kapasiti sumber manusia Malaysia, katanya ia menyediakan asas yang kukuh untuk kerjasama dalam pelaburan berimpak tinggi dan berteknologi tinggi sejajar dengan kemajuan teknologi AS dalam bidang ini.

"Kami ingin melihat kerjasama yang dipertingkatkan dan platform perkongsian maklumat yang akan memberikan ketelusan yang lebih baik dan penglibatan yang berkesan dalam melaksanakan usaha untuk kepentingan bersama," katanya.

Azmin dan Raimondo berkata mereka menyokong hubungan komersial yang kukuh antara kedua-dua negara melalui perdagangan, pelaburan, kemudahan industri dan kerjasama teknikal.

"Kami berhasrat untuk terus memperkukuh hubungan ini dengan mewujudkan hubungan antara kerajaan dan sektor swasta selain menerajui ekonomi melepasi impak daripada pandemik Covid-19.

"Kami percaya perdagangan, pelaburan dan rantaian bekalan yang mampan akan menjadi teras dalam memulihkan ekonomi kita kembali kepada trajektori pertumbuhan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 4:56 PM