Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Fasiliti Pembuatan AT&S di Kulim Hi-Tech Park hari ini. FOTO BERNAMA
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Fasiliti Pembuatan AT&S di Kulim Hi-Tech Park hari ini. FOTO BERNAMA
Noorazura Abdul Rahman


Kulim: Malaysia dijangka kekal menjadi destinasi utama pelabur asing berikutan usaha kerajaan mempercepatkan proses kelulusan melalui inisiatif E10 (Permit Pembinaan Ekspres) sekali gus membantu mengurangkan kerenah birokrasi.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, inisiatif yang diperkenal Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu akan menjadi penanda aras baharu dalam memperkukuh keyakinan pelabur asing ke Malaysia.

Katanya, selain itu dasar dan agenda yang dibawa kerajaan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) serta Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) turut memberi penekanan kepada elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Ini adalah elemen penting perlu diperkenal bagi menarik pelabur asing ke Malaysia dan Malaysia juga berada pada kedudukan strategik kerana menjadi anggota penting dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang dapat menjamin pasaran baharu serantau serta negara anggota RCEP.

"Pelabur hari ini bukan sahaja melihat kepada insentif diberi kerajaan sahaja, tetapi melihat secepat mana kita boleh membuat keputusan dan apakah tenaga kerja yang kita boleh tawarkan serta kemudahan yang mampu disediakan kepada pelabur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Kilang Perindustrian AT&S di Kulim Hi-Tech Park di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

Mohamed Azmin berkata, mengambil contoh pelaburan dibuat AT&S, ia adalah suatu rekod kerana hanya mengambil masa 12 bulan hasil usaha inisiatif E10 yang berjaya mempercepatkan kelulusan di peringkat Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.

"AT&S adalah peneraju global pembuatan papan litar bercetak (PCB) dan litar bersepadu (IC) berprestasi tinggi berpangkalan di Austria, mereka memilih Kedah untuk kemudahan pengeluaran pertamanya di Asia Tenggara dengan pelaburan fasa pertama berjumlah RM8.5 bilion.

"Ia adalah pelaburan terbesar dalam sejarah syarikat ini, ia bakal mencipta 1,500 peluang pekerjaan dalam kalangan jurutera dan 4,500 pekerjaan dalam kalangan pekerja kolar biru selain 6,000 anak tempatan akan diambil bekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 4:49 PM