TENGKU Zafrul
TENGKU Zafrul

Kuala Lumpur: Nilai pengecualian cukai yang dimanfaatkan oleh pengendali premis penginapan mencecah RM1.37 bilion, peningkatan RM533.42 juta berbanding RM836.56 juta pada minggu sebelumnya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengecualian cukai perkhidmatan bagi hotel dilaksanakan untuk menyokong sektor pelancongan sehingga 30 Jun ini.

Katanya, antara inisiatif sokongan sektor pelancongan yang turut disediakan ialah pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong serta pengecualian cukai pelancongan sepenuhnya bagi pelancong asing.

Bagi Pembiayaan Sektor Pelancongan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang mana peruntukan RM1 bilion disediakan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS Mikro yang terkesan Covid-19, beliau menjelaskan, setakat 29 Januari lalu ada 573 permohonan bagi pembiayaan itu.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 277 permohonan diluluskan dengan jumlah pembiayaan RM55.4 juta," katanya dalam pembentangan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-40 pelaksanaan Prihatin, Penjana, Kita Prihatin dan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), semalam.

Tengku Zafrul berkata, beberapa hari lalu, Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk mewujudkan gelembung perjalanan bagi merancakkan industri pelancongan antara kedua-dua negara.

Justeru, katanya, Kementerian Kewangan mengalu-alukan inisiatif itu dan berharap dengan gabungan peruntukan pembiayaan bagi

industri pelancongan, mereka yang terbabit di dalam industri berkenaan akan mampu untuk cergas semula.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 7:01 AM