GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan meluluskan 6,731 permohonan membabitkan peruntukan RM1.259 bilion di bawah skim pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) setakat 12 Februari 2021, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Skim Pembiayaan PKS Penjana dengan peruntukan RM2 bilion itu mengutamakan PKS yang belum pernah mendapat pinjaman daripada bank sebelum ini.

Beliau berkata, bagi sektor Pelancongan Penjana, kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bagi PKS dan PKS Mikro yang masih terkesan dengan Covid-19.

"Terdapat 579 permohonan bagi pembiayaan ini dan daripada jumlah itu, 282 permohonan diluluskan dengan nilai pembiayaan sebanyak RM57.1 juta," kata Tengku Zafrul semasa membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-42, hari ini.

Manakala bagi pembiayaan Mikro Kredit Penjana di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN), sebanyak RM363.4 juta telah disalurkan bagi memanfaatkan 10,774 PKS Mikro termasuk dalam bidang peruncitan dan perkhidmatan.

Bagi Pembiayaan Usahawan Bumiputera yang diperkenalkan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dengan dana RM200 juta, sebanyak 572 PKS menerima dana bernilai RM161.7 juta setakat 12 Februari, 2021 , berbanding 548 PKS menerima dana berjumlah RM153.0 juta pada minggu sebelumnya.

"Menyentuh tentang Matlamat Memperkasakan Rakyat, program Subsidi Upah Fasa Pertama (PSU 1.0) masih berjalan dan program ini mencapai nilai penyaluran RM12.763 bilion untuk 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja didaftarkan.

"Manakala bagi PSU2.0, sejumlah RM770.31 juta disalurkan kepada 65,398 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 534,183 pekerja," katanya.

Tengku Zafrul berkata, seperti dinyatakan semasa Belanjawan 2021, PSU bersasar diperkenalkan bagi membantu sektor pelancongan dan peruncitan, manakala kesemua sektor yang terkesan oleh pelaksanaan PKP tahun ini adalah layak untuk menerima sokongan PSU 3.0 di bawah Pakej Bantuan Permai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 3:41 PM