GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Nabilah Ibrahim


Kuala Lumpur: Pembangunan Pusat Pengalaman Pembuatan Pintar (SMEC) oleh Sirim Berhad adalah inisiatif untuk memacu inovasi dan memperkasa perniagaan bagi mencapai era Industri 4.0.

SMEC menyediakan peralatan canggih, sistem pintar dan demonstrasi mendalam supaya pemain industri dapat mengoptimumkan operasi, meningkatkan produktiviti dan membuka tahap kecekapan baharu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sirim Berhad Datuk Indera Dr Ahmad Sabiri Arshad berkata, pembangunan SMEC adalah sejajar dengan objektif kerajaan dalam Dasar Negara Industri 4WRD.

"SMEC berhasrat, pelanggan dapat menimba pengalaman dalam persekitaran pembuatan pintar sebagai langkah permulaan untuk memulakan transformasi Industri 4.0," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran SMEC di Sirim Bukit Jalil di sini, hari ini.

Ahmad Sabiri berkata, pusat itu juga bertujuan untuk mempromosikan keupayaan Pembuatan Pintar Sirim, meningkatkan kecekapan warga kerja Sirim, mewujudkan peluang kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan untuk Penyelidikan Perindustrian Sirim serta menyediakan perkhidmatan juga latihan dalam bidang Industri 4.0.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pusat pengalaman ini bakal menawarkan pengalaman langsung kepada industri profesional seperti barisan pembuatan aditif (AM) untuk demonstrasi penyesuaian dan barisan pemasangan pengeluaran.

"SMEC turut menyediakan program latihan untuk industri seperti 'eCommerce 4 Smart Manufacturing', Reka Bentuk, Analisis dan Simulasi Produk Industri, Realiti Tambahan dan Analisi Data Besar.

"Kita menggalakkan semua industri, terutama Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk meneroka alam Industri 4.0 supaya industri kita dapat lebih berdaya saing dan kompetitif dalam perniagaan sehingga ke peringkat global," katanya. t

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 5:35 PM