Lizam Ridzuan

Tampil lebih sporty untuk keperluan gaya hidup urban, Mitsubishi Motors Malaysia Sdn Bhd (MMM) melancarkan Mitsubishi Triton Athlete, varian tertinggi daripada tujuh model Triton di negara ini.

Dilengkapi enjin 2.4L MIVEC Di-D diesel turbo VGT, nadi berkenaan menawarkan kuasa 181PS pada 3,500rpm manakala tork 430Nm pada 2,500rpm.

Antara pembaharuan diketengahkan ialah bampar hadapan bersama jeriji bercorak honeycomb, wheel arches, tangga sisi, pemegang pintu, rim aloi 17 inci, bampar belakang dan spoiler serta cermin sisi berwarna hitam.

Bahagian dalaman juga dihiasi kulit warna hitam/oren pada kerusi dan tombol gear selain pelapik lantai edisi khas Athlete yang menyerlahkan ciri premium.

GAYA sporty Triton Athlete baru.
GAYA sporty Triton Athlete baru.

Untuk sistem hiburan dan multimedia, Triton Athlete didatangkan bersama skrin sesentuh yang menyokong aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto selain pemain cakera padat, MP3, pemacu USB dan ketersambungan Bluetooth.

Model ini dilengkapi tujuh beg udara, Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Kawalan Cengkaman Dengan Kestabilan Aktif, Bantu Mula-Bukit (HSA), Bantuan Kestabilan Trailer (TSA) dan Sistem Atasi Brek.

Model diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand ini dijual pada harga RM126,990 (tanpa insurans) dengan lima tahun waranti atau 200,000 kilometer (km), yang mana lebih dahulu.

Sementara itu, bersempena pelancaran ini, Mitsubishi Motors Malaysia Sdn Bhd (MMM) menganjurkan acara Mitsubishi Ultimate Drive dengan penampilan khas duta jenama itu, Leona Chin bermula 20 Januari hingga 25 Mac.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang www.mitsubishi-motors.com.my untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 1:42 AM