IZWAN
IZWAN
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menjangkakan lebih ramai usahawan Bumiputera akan mendapat manfaat daripada peruntukan sebanyak RM230 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, pihaknya berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan membentangkan bajet yang mengambil berat terhadap kelangsungan perniagaan usahawan Bumiputera.

"PUNB ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan di atas peruntukan khas untuk terus memperkasa usahawan Bumiputera pada pengumuman Belanjawan 2021, semalam.

"Berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, PUNB menerima RM230 juta yang mana melebihi peruntukan 2020.

"Ini bermakna, lebih ramai usahawan Bumiputera mendapat manfaat daripada peruntukan ini," katanya kepada Bisnes Metro.

Izwan berkata, peruntukan yang diterima ini akan dimanfaatkan sebaiknya sejajar dengan visi PUNB iaitu menjadi pusat kecemerlangan terulung dalam pembangunan usahawan.

Menurutnya, misi PUNB juga adalah untuk menyediakan peluang kepada usahawan Bumiputera mencapai kejayaan dalam perniagaan melalui sokongan kewangan dan perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 7:01 AM