IZUAN Ahmad
IZUAN Ahmad

NEGARA Asean termasuk Malaysia dan China dilihat mempunyai kebolehan mengatasi virus Covid-19 sekitar akhir tahun ini dan seterusnya mampu menjana semula ekonomi seawal 2021.

Penganalisis dan Ketua Ekonomi Bank Muamalat, Izuan Ahmad berkata, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan Perdana Menteri disifatkan tepat pada masanya.

Katanya, Penjana merangkumi pemulihan jangka pendek bagi tempoh hingga akhir tahun ini untuk semua sektor serta mengkhusus kepada golongan B40, M40 dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Seperti dijangka pelan ini merangkumi atau melengkapi semua segmen dan sektor yang menjana ekonomi dan kestabilan negara.

"Kita tak boleh terlalu bergantung kepada negara luar seperti Eropah kerana pemulihan akibat Covid-19 di sana memakan masa agak lama.

"Apabila kerajaan memberi tumpuan lebih kepada PKS melalui pelan ini, secara tak langsung ia membantu menjana semula ekonomi negara kerana PKS adalah tunjang utama keseluruhan sektor ekonomi.

"Jika PKS dibiarkan tanpa sokongan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia akan mengakibatkan ekonomi negara terus merundum.

"Ini berikutan suku kedua tahun ini, keluaran dalam negara kasar (KDNK) akan merekodkan angka negatif.

"Amat penting kerajaaan membantu sektor PKS untuk tidak menyebabkan ekonomi terus menguncup pada suku ketiga dan keempat tahun ini, bila wabak Covid-19 dijangka dapat diatasi di Malaysia, negara Asean dan China menjelang akhir 2020," katanya kepada Bisnes Metro ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, melalui Penjana, pemulihan ekonomi dapat dicapai seawal tahun depan.

Beliau berkata, Penjana juga memfokus kepada sektor yang menjana ekonomi utama kerana selain PKS, pelan itu turut membantu kumpulan berpendapatan B40 dan M40 yang mempunyai kuasa membeli lebih tinggi.

"Pelan ini menyeluruh kerana memberi sokongan terhadap pembelian hartanah, rumah dan kenderaan.

"Di samping itu perbelanjaan domestik juga menjadi penjana utama ekonomi negara dan kita tidak boleh abaikan faktor ini kerana sumbangan perbelanjaan domestik terhadap ekonomi sangat penting," katanya.

Secara keseluruhan, terdapat 40 inisiatif bernilai RM35 bilion di bawah Penjana.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM10 bilion adalah suntikan fiskal langsung daripada kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 7:10 AM