MDEC berharap Belanjawan 2021 memberi tumpuan kepada usaha melonjakkan lagi sektor ekonomi digital.
MDEC berharap Belanjawan 2021 memberi tumpuan kepada usaha melonjakkan lagi sektor ekonomi digital.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berharap Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan hari ini memberi tumpuan kepada usaha melonjakkan lagi sektor ekonomi digital yang ketika ini memainkan peranan penting dalam membantu negara yang sedang berusaha untuk pulih ekoran pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata, MDEC percaya Kementerian Kewangan mempunyai tawaran menarik yang akan menyokong aspirasi MDEC untuk menjadikan negara ini sebagai Nadi Digital Asean yang mana kemakmurannya akan dapat dinikmati segenap lapisan rakyat.

Katanya, MDEC memerlukan sokongan berterusan bagi menyokong tiga teras utamanya termasuk pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pemula, tumpuan kepada pembangunan bakat digital untuk menjana pendapatan dan seterusnya insentif yang menarik pelaburan digital termasuk sektor kandungan kreatif digital tempatan.

"Sebenarnya, tahun ini Kementerian Kewangan dan MDEC bekerjasama untuk merancakkan sektor e-dagang di negara ini melalui dua inisiatif iaitu Shop Malaysia Online Penjana dan kempen e-dagang bagi PKS dan usahawan mikro yang mana kedua-duanya berjaya meraih jualan lebih RM1.2 bilion dan sudah pasti kita mengharapkan jalinan ini diperkukuhkan menerusi perincian Belanjawan 2021 akan datang.

"Usaha pendigitalan PKS tempatan dan usahawan mikro sangat penting kerana sektor ini adalah tulang belakang ekonomi negara yang mewakili hampir 90 peratus perniagaan domestik yang seterusnya menjana peluang pekerjaan.

"Kerajaan turut berharap PKS dan mikro tempatan dapat ditransformasikan ke arah pendigitalan bagi melakukan lonjakan digital dan seterusnya merebut manfaat perdagangan rentas sempadan.

"Usaha ini telah bermula dan kita mahu meneruskan pada skala lebih besar untuk mendominasi pasaran serantau dan seterusnya global," katanya dalam kenyataan, semalam.

Selain itu, Surina berkata, MDEC turut merancang untuk meneruskan program seperti inisiatif #mydigitalmaker, Pembangunan Modal Insan Ekonomi Digital, Memupuk Jaguh Tempatan Menghasilkan Kandungan Digital, Tenaga kerja Dalam Talian Global atau GLOW Global Online Workforce (GLOW) dan e-Rezeki yang memberi peluang kepada rakyat menjana pendapatan secara dalam talian.

Beliau berkata, usaha berterusan ini akan memperkasakan cita-cita Malaysia untuk menjadi hab pelaburan digital dan sebagai batu loncatan untuk memasuki pasaran Asia Tenggara.

Ketika ini, pelbagai perkhidmatan perniagaan global berasaskan digital dan platform ekosistem data telah memilih Malaysia sebagai pangkalan operasi serantau mereka sekaligus telah mengesahkan status Malaysia sebagai hab serantau berteknologi tinggi dan pengembangan inovasi yang menarik.

"Bagi sektor pelaburan digital, MDEC berharap kerajaan akan terus menyokong pelbagai inisiatif digital khususnya untuk menarik pelaburan digital terutamanya Inisiatif Pembangunan Industri Untuk Kandungan Digital Malaysia (My Digital Content) bagi meningkatkan aktiviti dan nilai tambah rantaian nilai kandungan digital industri tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 7:00 AM