Gambar hiasan
Gambar hiasan
Bisnes HM


Kerajaan menggesa China, Jepun dan Korea menjalin perkongsian dengan negara Asean dalam membangunkan vaksin Covid-19.

Menteri Kanan dan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melalui Persidangan Maya Istimewa Asean + 3 Menteri Ekonomi (AEM+3), mengenai Respons Covid-19 semalam berkata, beliau juga menggesa kumpulan meningkatkan lagi usaha kerjasama dalam menghadapi dan mengatasi krisis ini.

"Usaha ini boleh dilakukan dengan menyatukan sumber dan keupayaan untuk mencari penyelesaian berkekalan.

"Menghasilkan sinergi dan kebersamaan adalah kunci utama kejayaan dalam menentang Covid-19 dan kumpulan AEM+3 perlu meluaskan skop kerjasama dengan solidariti dan kepimpinan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmin berkata, pihaknya juga mendesak Asean untuk mempertimbangkan langkah-langkah blok bagi mendapatkan vaksin secara teratur untuk meningkatkan peluang ketersediaan vaksin di rantau ini.

"Korea dan China, adalah antara yang termaju dalam ujian penghasilan vaksin dan perlu mempertimbangkan untuk membenarkan negara anggota Asean menghasilkan vaksin.

"Ia bertujuan untuk mengurangkan kos dan memastikan ketersediaan vaksin bagi orang ramai selain menggalakkan Asean sebagai rantau inovasi bioteknologi," katanya.

Dalam persidangan berkenaan, Azmin turut mengucapkan terima kasih kepada China, Korea dan Jepun melalui bantuan dan sokongan mereka dalam menangani pandemik Covid-19.

"Malaysia menggunakan 'pendekatan bersasar' untuk ujian Covid-19 dengan memberi tumpuan kepada jangkitan kluster selain mengenal pasti kawasan lokal dengan kes jangkitan tinggi," katanya.

Dalam aspek meratakan lengkuk jangkitan Covid-19, menurutnya, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kadar jangkitan adalah 3.55 dan kini angka berkenaan berjaya dikurangkan kepada 0.3.

"Pandemik ini bukan sekadar krisis kesihatan sebaliknya jauh lebih serius dan memerlukan tindak balas menyeluruh antara kerajaan dan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 6:14 PM