Keadaan berhampiran stesen kereta api Pyongyang, Korea Utara yang lengang berikutan orang ramai kekal berada di rumah kerana peningkatan kes Covid-19. - FOTO AFP
Keadaan berhampiran stesen kereta api Pyongyang, Korea Utara yang lengang berikutan orang ramai kekal berada di rumah kerana peningkatan kes Covid-19. - FOTO AFP
Reuters

Beijing/Seoul: Beberapa bulan sebelum ia mengakui wabak Covid-19 rasmi pertamanya, Korea Utara tiba-tiba mengimport berjuta-juta pelitup muka, 1,000 ventilator, dan vaksin dari China, menurut data perdagangan yang dikeluarkan oleh Beijing.

Dua minggu lalu media kerajaan mendedahkan wabak itu, mencetuskan kebimbangan mengenai kekurangan vaksin, bekalan perubatan dan kekurangan makanan. Data China menunjukkan bahawa sebelum pengumuman itu, Korea Utara telah mula menyimpan stok.

Korea Utara tidak diketahui telah menjalankan sebarang kempen vaksin Covid-19.

Pada Februari, bagaimanapun, China mengeksport vaksin tidak dikenalpasti bernilai AS$311,126 kepada jirannya, menurut data yang dikeluarkan bulan ini.

China melaporkan tiada eksport vaksin lain ke Korea Utara untuk mana-mana bulan lain tahun ini, atau sepanjang tahun lalu.

Dari Januari hingga April, Korea Utara membeli lebih daripada 10.6 juta pelitup muka dari China, selepas tidak membelinya pada Disember 2021.

Dalam empat bulan itu, China juga mengeksport hampir 95,000 termometer, lebih daripada 33 kali ganda daripada jumlah keseluruhan 2021.

China mengeksport 1,000 ventilator bukan invasif ke Korea Utara pada April, bernilai AS$266,891, serta bekalan makmal yang boleh digunakan dalam kit ujian Covid-19. Import perubatan lain termasuk sarung tangan getah dan pakaian pelindung.

Secara keseluruhan eksport China ke Korea Utara mencecah AS$98.1 juta pada April, tertinggi sejak Januari 2020 dengan jumlah AS$186.8 juta.

Korea Utara menutup sempadannya untuk hampir semua perdagangan sepanjang pandemik, dan hanya baru-baru ini membenarkan aliran bekalan dan produk ke negara itu dengan kereta api dan kapal dari China.

Tiga pesawat dari Air Koryo tiba di China dan kembali ke Pyongyang minggu lalu dengan membawa bekalan perubatan, kata sumber diplomatik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 5:27 PM