Bisnes hmetro


Proton Holdings Bhd (Proton) dijangka memperkenalkan beberapa model baharu pada 2020 merangkumi model kenderaan sedan pelbagai segmen, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV).

Pengenalan model baru Proton itu hasil perkongsian strategiknya dengan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely).

Ini kerana, Proton pada 2019 memperkenal empat model dinaik taraf dan syarikat itu berkemungkinan tidak memperkenalkan lagi model dinaik taraf, tetapi menumpukan kepada pengeluaran model baharu.

Salah satunya Proton X50 yang dijadualkan dilancar pada pertengahan 2020.

Perkara ini juga seiring dengan perancangan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) yang bakal memperkenalkan barisan penuh produk baharunya tahun hadapan.

Jurucakap Geely yang berpangkalan di China ketika dihubungi berkata, firma automotif China itu bakal mempunyai barisan produk penuh pada 2020.

Beliau berkata, Geely komited memperkenal kenderaan elektrik (EV) dan menyasarkan 90 peratus jualan kenderaan EV pada 2020.

“Ini kerana Geely ingin menjadikan kenderaan EV sebagai kenderaan boleh dimiliki semua. Daripada jumlah itu, 65 peratus jualan dari kereta elektrik plug-in hibrid (PHEV) dan kenderaan elektrik hibrid (HEV).

“35 peratus saja dari jualan model EV sepenuhnya. Lantaran itu, bagi menyokong peningkatan jualan EV, Geely memperkenalkan jenama Geometry yang akan mengeluarkan model EV sepenuhnya,” katanya.

Malah Proton X70 secara pemasangan tempatan (CKD), kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya bakal diperkenalkan pada separuh pertama 2020 diikuti Proton X50 pada separuh kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 8:10 AM