PROTON dalam proses pemulihan optimis capai sasaran jualan sebanyak 100,000 unit  tahun ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
PROTON dalam proses pemulihan optimis capai sasaran jualan sebanyak 100,000 unit tahun ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd berada pada landasan yang tepat dalam penyusunan semulanya dan syarikat itu dijangka kembali pulih seterusnya mencapai sasaran jualan sebanyak 100,000 unit pada tahun ini.

Penyelidik Hong Leong Investment Bank (HLIB) Daniel Wong berkata, Proton merekodkan peningkatan jualan pada April lalu sebanyak 7,000 unit menjadikan jualan tahunan setakat ini berjumlah 25,300 unit.

Beliau berkata, prestasi cemerlang itu disumbangkan permintaan kukuh bagi model kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya, X70 dan model baharu Iriz dan Persona yang dilancarkan bulan lalu.

Katanya, dua model baharu itu menerima tempahan sehingga 8,000 unit disebabkan tawaran harga yang menarik serta kualiti produk dan ciri dipertingkatkan.

“Kami mendapati Proton adalah salah satu syarikat automotif utama di negara ini yang mencatatkan pertumbuhan positif dari bulan ke bulan.

“Malah, Proton juga berjaya kembali berada pada kedudukan kedua dengan 14 peratus pegangan pasaran dan berada di belakang Perodua pada April 2019.

“Perkara ini menjadikan pelan penyusunan semula Proton pada landasan tepat dan akan kembali pulih pada tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan itu.

Selain itu, Proton juga dijangka memperkenalkan model pemasangan tempatan (CKD) bagi X70, Saga facelift dan model SUV Geely yang lebih kecil yang mungkin dikenali sebagai X50 pada separuh kedua 2019.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan pada April tahun ini jumlah jualan industri (TIV) sebanyak 50,000 unit menjadikan jumlah TIV setakat ini menjadi 193,000 unit.

Jumlah terbabit kebanyakannya disumbangkan oleh dua model SUV nasional iaitu Proton X70 dan Perodua Aruz.

Sementara itu, Perodua turut merekodkan jualan yang tinggi pada April 2019 sebanyak 22,100 unit iaitu pertumbuhan 11 peratus dari tahun ke tahun didorong oleh penjualan Aruz.

Setakat ini, Perodua mempunyai kadar jualan memberangsangkan sebanyak 82,800 unit yang mewakili 42.9 peratus pegangan pasaran yang mana 9,764 unit adalah daripada jualan Aruz pada tempoh itu.

“Sejak Aruz dilancarkan pada Januari lalu, permintaan bagi model berkenaan kekal kukuh dengan tempahan menghampiri 20,000 unit sehingga awal Mei ini.

“Perodua juga dijangka mencapai sasaran jualan tahun ini 235,000 unit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 8:18 AM