NG (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CleanPro, Goh Sen Kiat (dua dari kiri) melancarkan pembayaran tanpa sentuh Visa.
NG (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CleanPro, Goh Sen Kiat (dua dari kiri) melancarkan pembayaran tanpa sentuh Visa.
Sofyan Rizal Ishak


VISA Malaysia, penyedia pembayaran digital terkemuka dunia menjangkakan 70 peratus daripada pembayaran tanpa sentuh akan diterima melalui semua terminal pembayaran di seluruh negara, tahun depan.

Pengurus Negara Visa bagi Malaysia, Ng Kong Boon berkata, pada masa ini ada 1,000 peniaga yang menggunakan pembayaran tanpa sentuh Visa dengan hampir 300,000 terminal menerima pakai kaedah itu di pasaran tempatan.

“Kadar penembusan pembayaran tanpa sentuh di negara ini berkembang dengan pesat dan berada pada tahap 40 peratus dengan nisbah empat daripada 10 pengguna tanpa tunai menggunakan kaedah ini

“Selain itu, perkhidmatan ini juga menunjukkan prestasi memberangsangkan di negara ini dengan mencatatkan lebih tujuh juta transaksi dalam tempoh sebulan,” katanya pada pelancaran pembayaran tanpa sentuh Visa untuk rangkaian kedai dobi Cleanpro Express di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cleanpro Laundry Holdings Sdn Bhd (Cleanpro) iaitu Goh Sen Kiat dan Ketua Pegawai Operasinya, Lim Chee Kiang.

Beliau berkata, setakat ini ada lebih 30 juta pemegang kad visa di Malaysia dengan 70 peratus daripadanya adalah pemegang kad debit.

“Jumlah ini menunjukkan pertumbuhan dua angka pada setiap tahun dan kami sentiasa meninjau peluang kerjasama dengan rakan niaga berpotensi lain bagi meningkatkan lagi pelaksanaan pembayaran tanpa sentuh di negara ini,” katanya.

Mengulas kerjasama dengan Cleanpro Express, Ng berkata, kerjasama itu adalah satu komitmen berterusan syarikat untuk memperkukuhkan kedudukan di Malaysia.

“Kerjasama ini sekali gus menjadikan rangkaian kedai dobi layan diri itu sebagai rangkaian dobi pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang menawarkan pembayaran tanpa sentuh kepada pelanggan.

“Pembayaran ini membantu rakyat Malaysia menjalani proses pembayaran lebih lancar dan pantas tanpa perlu menyediakan wang tunai dan sejajar dengan matlamat Bank Negara Malaysia (BNM) bagi meningkatkan jumlah terminal pembayaran tanpa sentuh di Malaysia, selain mendidik komuniti tanpa tunai,” katanya.

Bermula 31 Julai lalu, pengguna boleh menggunakan pembayaran tanpa sentuh di 300 cawangan dobi Cleanpro Express seluruh Malaysia termasuk cawangan Aladin Dobi dan Ibu Sayang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 7:50 AM