PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias (tiga dari kanan)  melancarkan kemudahan pembayaran dompet mudah alih pertama, MaybankPay, semalam.
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias (tiga dari kanan) melancarkan kemudahan pembayaran dompet mudah alih pertama, MaybankPay, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Malayan Banking Berhad (Maybank) menyasarkan pendaftaran seramai 20,000 pengguna bagi kemudahan pembayaran dompet mudah alih pertama dikenali MaybankPay dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Kemudahan itu membolehkan pelanggan melakukan pembayaran tanpa tunai melalui telefon pintar dan peranti pegangan tangan lain di mana ia dicaj kepada kad Visa mereka tanpa perlu menggunakan kad debit atau kredit fizikal.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti (CFS) Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan berkata, MaybankPay diwujudkan bagi merevolusikan pembayaran elektronik di Malaysia dengan bayaran hanya dilakukan dengan mengimbas telefon bimbit pada terminal kad peniaga yang mempunyai keupayaan Visa PayWave di seluruh negara

“MaybankPay adalah sebahagian daripada strategi kami untuk mengukuhkan tawaran digital sejajar objektif Kumpulan menjadi pilihan bank digital. Kami akan terus memanfaatkan teknologi untuk memastikan pelanggan kami mendapat manfaat daripada peningkatan tumpuan antara telekomunikasi mudah alih dan perbankan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran MaybankPay sempena Maybank Treats Fair 2016, di sini, semalam.

Beliau berkata, MaybankPay direka bentuk untuk menjadi cepat, mudah dan selamat digunakan dan mula disediakan bagi peranti Android dan pemegang kad boleh mendaftarkan sehingga lapan kad pada satu peranti.

“Untuk tempoh percubaan, pelanggan Maybank berpeluang menggunakan kemudahan ini secara eksklusif ketika Maybank Treats Fair 2016 ini di mana MaybankPay akan beroperasi secara komersial sepenuhnya pada Ogos 2016,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Maybank akan menerokai kemungkinan melaksanakan MaybankPay di pasaran Maybank lain iaitu Indonesia, Singapura dan Filipina pada akhir tahun depan memandangkan pertumbuhan pesat pengguna telekomunikasi mudah alih di pasaran terbabit.

Sementara itu, Hamirullah berkata, Maybank menyasarkan jualan dan penebusan TreatPoints bernilai RM24 juta pada acara Maybank Treats Fair 2016 iaitu peningkatan 20 peratus berbanding RM20 juta pada tahun sebelumnya selain menjangkakan kunjungan 260,000 pelawat pada kali ini berbanding 250,000 pelawat pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 7:20 AM