AIRASIA melancarkan rekaan 'livery'  baharu Airbus 320.
AIRASIA melancarkan rekaan 'livery' baharu Airbus 320.
Sri Ayu Kartika Amri


BANGKOK: AirAsia melancarkan rekaan livery (lukisan pada badan pesawat) baharu Airbus 320 yang memaparkan ikon pelancongan Asean sempena sambutan Hari Asean ke-52.

Rekaan istimewa itu turut memaparkan logo Kepengerusian Asean serta kelestarian Asean sebagai menyokong kerjasama yang mampan antara AirAsia dan negara Asean lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, misi AirAsia adalah untuk mencipta jenama Asean yang dikenali di peringkat global.

“Sebagai syarikat yang benar-benar Asean pihak kami teruja untuk memaparkan keistimewaan di rantau ini di pesawat kami dan meneruskan komitmen kami dalam membangunkan pelancongan yang mampan dan lestari.

“Kami berharap paparan istimewa ini dapat menarik perhatian orang ramai dan memulakan perbualan mengenai kelebihan dan impak pelancongan lestari kepada lebih 650 juta penduduk di Asean.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Thailand selaku Pengerusi Asean 2019 dan berharap untuk terus bekerjasama bagi membangunkan integrasi yang lebih baik dalam pelbagai inisiatif,” katanya pada majlis pelancaran itu di sini, semalam.

Hadir sama, Penasihat Kementerian Luar Thailand, Vijavat Isarabhakdi dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Asean merangkap Kementerian Luar Thailand, Dr Suriya Chindawonogse.

AirAsia memperjuangkan integrasi Asean melalui sokongan berterusan dalam Dasar Langit Terbuka Asean atau pasaran penerbangan tunggal.

Dasar ini bertujuan meningkatkan kesalinghubungan serantau dan domestik, selain meningkatkan peluang perniagaan di rantau Asean melalui pembukaan perjalanan udara di bawah pasaran pengangkutan udara tunggal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 7:15 AM