(Lima dari kiri di belakang) Nadda Buranasiri, Rafidah, Kamarudin Meranun, Bo Lingam bersama-sama kru kabin AirAsia.
(Lima dari kiri di belakang) Nadda Buranasiri, Rafidah, Kamarudin Meranun, Bo Lingam bersama-sama kru kabin AirAsia.

AIRASIA diumumkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali ke-11 berturut-turut di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2019.

Pada majlis sama, AirAsia juga dinamakan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia dan memenangi anugerah Kabin Premium Syarikat Tambang Rendah Terbaik Dunia bagi tempat duduk Premium Flatbed yang terdapat dalam pesawat berbadan lebar jarak jauh AirAsia X.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun berkata, pengiktirafan oleh Skytrax untuk 11 tahun berturut-turut adalah satu penghormatan dan ia mencerminkan komitmen pihaknya dalam menawarkan perjalanan tambang rendah dan perkhidmatan yang mengutamakan penumpang.

“Anugerah ini diberikan berdasarkan maklum balas langsung dan ia adalah pengiktirafan menggembirakan untuk Allstars yang sudah banyak berusaha dan memberikan komitmen kepada kecemerlangan perkhidmatan untuk pelanggan kami,” katanya.

Menurutnya, AirAsia sentiasa menjadi perintis dalam industri dan juga memainkan peranan sebagai pelopor perjalanan tambang rendah di Asia Pasifik.

“Hari ini, AirAsia mengendalikan lebih daripada 140 destinasi dari 25 hab di 22 pasaran dan telah menerima pelbagai anugerah untuk inovasi, perkhidmatan pelanggan, keselamatan operasi serta kecemerlangan pekerja dan tempat kerja,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi AirAsia X Berhad, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, pihaknya bangga dengan pengiktirafan Kabin Premium Syarikat Tambang Rendah Terbaik Dunia untuk kali kesembilan bagi penerbangan AirAsia X.

“Kami sekali lagi terus diiktiraf dalam menyediakan kemudahan terbaik untuk penerbangan jarak jauh kami.

“Kecemerlangan hari ini mewakili sembilan tahun menjadi yang terbaik di dunia dalam kategori ini dan didedikasikan kepada Allstars yang berpegang teguh kepada budaya korporat, misi dan visi kami.

“Tahun ini, kami akan pergi lebih jauh dengan menawarkan keselesaan yang terbaik dalam pesawat Airbus A330neo baharu yang akan mengubah pengalaman perjalanan jarak jauh.

“Digarap dengan perkhidmatan dalam penerbangan yang cukup dikenali sebagai syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh, AirAsia X akan terus berusaha memberikan perkhidmatan yang berbaloi kepada penumpang ke 30 destinasi di 10 pasaran di seluruh rangkaian jarak jauh Kumpulan AirAsia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anugerah berkenaan diterima, semalam di Pameran Udara Antarabangsa Paris oleh Kamarudin dan Rafidah serta disertai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Penerbangan), Bo Lingam; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Nadda Buranasiri dan 11 krew kabin Allstar dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan India.

Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax adalah penanda aras kecemerlangan global syarikat penerbangan.

Keputusan tahun ini ditentukan melalui 21.65 juta kaji selidik pelanggan yang diterima daripada lebih 100 warganegara yang mengukur piawaian daripada 335 syarikat penerbangan dari Ogos 2018 sehingga Mei 2019.

Dalam pada itu, bagi meraikan kemenangan ini, AirAsia akan melanjutkan jualan besar-besaran AirAsia dengan tambahan 24 jam sehingga 20 Jun 2019.

Dengan tambang bermula dari serendah RM12 untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dan Johor Bahru serta RM89 untuk penerbangan ke Lombok dan Nha Trang, inilah masa terbaik untuk penumpang membuat tempahan bagi percutian seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 10:02 PM