DUSHYAN berucap mengenai misi meningkatkan pengalaman fiber. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
DUSHYAN berucap mengenai misi meningkatkan pengalaman fiber. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: Maxis Berhad (Maxis) mengumumkan tiga pelan fiber baharu untuk kediaman dan perniagaan dengan kelajuan internet paling pantas iaitu 300Mbps, 500Mbps dan 800Mbps sebagai tambahan kepada pelan 30Mbps dan 100 Mbps sedia ada.

Ketiga-tiga pelan itu ditawarkan bagi fiber kediaman dan perniagaan pada harga RM199 setiap bulan untuk kelajuan (300 Mbps), RM269 (500Mbps) dan RM349 (800Mbps).

Selain kelajuan baharu, syarikat itu juga ingin memastikan pelanggan dapat menikmati pengalaman WiFi yang lebih baik dengan tawaran fiber terkininya yang dibina untuk setiap keperluan pelanggan berdasarkan kepada saiz kediaman atau pejabat mereka dan jumlah penggunaan internet masing-masing.

Ketua Perniagaan Pengguna Maxis, Dushyan Vaithiyanathan berkata, syarikatnya memiliki misi untuk memberi akses fiber kepada semua orang melalui pelaksanaan kempen Maxis Fibrenation pada Ogos tahun lalu.

“Hari ini, misi meningkatkan pengalaman fiber masih diteruskan bukan hanya dengan penawaran kelajuan fiber paling pantas, malah lagi penting adalah untuk memberikan pengalaman WiFi lebih baik kepada semua pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Pelan fiber itu boleh dilanggan bersama dengan peranti WiFi mesh untuk liputan lebih baik dan isyarat WiFi yang kuat di setiap bilik dalam kediaman atau pejabat.

Pelanggan yang mengambil pelan fiber kediaman 500Mbps atau 800Mbps akan dapat menikmati dua peranti WiFi mesh secara percuma, manakala ketiga-tiga pelan perniagaan baru datang dengan dua peranti mesh bagi setiap pelan, serta sistem sekuriti Internet untuk melindungi pengguna daripada laman phishing dan malware.

Beliau berkata, Maxis juga memperkenalkan ONEBusiness Voice iaitu pelan yang menukarkan suara tetap perniagaan kepada suara IP pelbagai talian berasaskan awan bagi melengkapkan lagi pelan kelajuan itu.

“Pelan ini dilengkapi dengan pakej suara dengan harga berpatutan dengan panggilan dan perkakas percuma (alat penyesuai telefon analog dan telefon pejabat), yang dapat membantu syarikat menjimatkan bil telefon pejabat sehingga 40 peratus dan mengurangkan kos perkakas seperti sistem telefon perniagaan PABX.

“Ia juga sangat bermanfaat kerana kelajuan baharu itu akan menyokong perniagaan yang mempunyai bilangan kakitangan yang semakin meningkat, serta memenuhi keperluan mereka dalam penggunaan aplikasi yang lebih kompleks,” katanya.

Untuk mendaftar pelan baharu ini atau mendapat maklumat lanjut mengenai jalur lebar fiber Maxis, sila layari www.maxis.com. my/fibrenation dan https://business.maxis.com.my/onebusinessvoice untuk pelan perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 8:01 AM