SP Setia terus lakar kejayaan. FOTO NSTP
SP Setia terus lakar kejayaan. FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


SP Setia Berhad (SP Setia), optimis mencapai peningkatan 10 peratus nilai jualan kepada RM5.65 bilion bagi tahun kewangan 2019 terutama disokong dengan penawaran pelbagai projek yang bakal dilancarkan tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khor Chap Jen berkata, pada tahun kewangan 2018, SP Setia berjaya melepasi sasaran RM5 bilion jualan yang ditetapkan iaitu mencecah RM5.12 bilion.

Katanya, biarpun masih berdepan dengan ekonomi mencabar, SP Setia percaya jumlah yang disasarkan itu dapat dicapai dan menganggarkan 89 peratus disumbang daripada projek tempatan.

“SP Setia komited mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju pemaju hartanah di Malaysia dan tahun ini kumpulan akan melancarkan pelbagai projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM6.8 bilion termasuk empat projek baharu kami.

“Empat projek baharu itu di Setia Alaman (penambahan Setia Alam), Setia Mayuri Semenyih, Setia Tropicale Salak Tinggi dan Setia Safiro di Cyberjaya,” katanya pada sidang media pengumuman prestasi kewangan SP Setia bagi tahun kewangan 2018, di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, SP Setia juga melancarkan fasa baharu pembangunan di Setia Alam, Bandar Kinrara, KL Eco City dan Setia Ecohill 2 termasuk projek penjenamaan semula iaitu di Setia Alamsari, Alam Sutera dan Kota Bayuemas.

Manakala, bagi projek luar negara, beliau berkata, SP Setia turut melancarkan fasa baharu di Eco Lakes dan Eco Xuan di Vietnam dengan nilai GDV RM139 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 7:36 PM