NOR Shamsiah
NOR Shamsiah
Hazwan Faisal Mohamad dan Nora Mahpar dan Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia berkembang 4.4 peratus pada suku ketiga tahun ini, perlahan sedikit berbanding 4.5 peratus pada suku sebelumnya.

Bagi sembilan bulan pertama 2018, ekonomi Malaysia berkembang sederhana pada 4.7 peratus dan berada pada landasan kukuh untuk merekodkan pertumbuhan 4.8 peratus bagi tahun 2018.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, prestasi sederhana pada suku dikaji ini disebabkan gangguan yang berpanjangan dalam pengeluaran komoditi serta semakan semula beberapa projek mega kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan berikutan peningkatan ketara dalam pengunaan swasta berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar.

Nor Shamsiah berkata, pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi negara meningkat 1.6 peratus lebih pantas berbanding pertumbuhan 0.3 peratus pada suku sebelumnya.

“Inflasi keseluruhan menurun kepada 0.5 peratus pada suku ketiga 2018, berbanding 1.3 peratus pada suku sebelumnya, mencerminkan kesan daripada pelaksanaan GST pada kadar sifar.

“Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula pada 1 September lalu memberikan impak yang sedikit terhadap inflasi pada suku ketiga,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mengikut sektor, katanya, sektor perkhidmatan terus melonjak kepada 7.2 peratus didorong oleh momentum kukuh dalam perdagangan borong dan runcit serta maklumat dan komunikasi.

Beliau berkata, sektor pembuatan meningkat 5.0 peratus daripada 4.9 peratus pada suku tahun sebelumnya disumbangkan oleh produk elektrik, elektronik dan optikal yang mengukuh kepada 6.4 peratus.

“Perbelanjaan penggunaan akhir swasta meningkat kepada 9.0 peratus dipacu oleh penggunaan lebih tinggi terhadap makanan dan minuman, komunikasi, pengangkutan, restoran dan hotel,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 2:28 AM