NOR Shamsiah ketika sidang media mengenaik KDNK suku kedua di Bank Negara Malaysia. FOTO: Asyraf Hamzah
NOR Shamsiah ketika sidang media mengenaik KDNK suku kedua di Bank Negara Malaysia. FOTO: Asyraf Hamzah
Nurhayati Abllah dan Mahanum Abdul Aziz


EKONOMI Malaysia dalam laluan untuk mencapai sasaran pertumbuhan antara 4.3 hingga 4.8 peratus tahun ini, apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua berkembang lebih kukuh 4.9 peratus, meskipun berdepan persekitaran mencabar.

Pada suku pertama 2019, ekonomi negara berkembang 4.5 peratus, sekali gus menjadikan pertumbuhan ekonomi 4.7 peratus pada separuh pertama tahun ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata pertumbuhan kukuh itu disokong oleh pengembangan berterusan semua sektor ekonomi.

Beliau berkata, pemulihan gangguan bekalan komoditi dan kemajuan prestasi dalam sektor perkilangan dan pembinaan menyokong pertumbuhan.

Menurutnya, sektor perlombongan kembali mencatatkan pertumbuhan positif, didorong khususnya oleh pemulihan dalam pengeluaran gas asli.

Sektor perkilangan juga, jelasnya meningkat sedikit, hasil sokongan prestasi industri berasaskan pasaran dalam negeri yang lebih baik, manakala sektor perkhidmatan terus berkembang berikutan pertumbuhan mapan dalam subsektor perdagangan borong dan runcit.

“Perbelanjaan swasta yang berterusan kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan. Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.3 hingga 4.8 peratus tahun ini,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi Malaysia suku kedua 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Nor Shamsiah berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka akan terus disokong oleh aktiviti sektor swasta.

Namun, katanya, sektor luaran dijangka terus menerima kesan daripada pertumbuhan global yang lebih perlahan susulan ketegangan perdagangan yang masih berlarutan.

Pada suku kedua, inflasi keseluruhan secara puratanya adalah lebih tinggi, khususnya mencerminkan luputnya kesan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar yang dilaksanakan pada Jun 2018.

Inflasi teras, yang tidak mengambil kira kesan daripada perubahan dasar cukai penggunaan, tidak berubah pada 1.6 peratus.

Mengenai pembiayaan, secara keseluruhannya ia konsisten dengan kadar pertumbuhan ekonomi semasa, dengan permintaan untuk pembiayaan menunjukkan tanda-tanda akan menjadi bertambah baik memandangkan permohonan pinjaman meningkat pada suku berkenaan.

Pengeluaran pinjaman yang berterusan kepada semua segmen ekonomi, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan untuk pembelian rumah, dilihat terus menyokong kegiatan ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 4:56 PM