BARU pada sidang media jawatankuasa kementerian CITP, semalam.
BARU pada sidang media jawatankuasa kementerian CITP, semalam.
Nabil Basaruddin dan Farah Adilla

Kuala Lumpur: Projek mega dengan status siap pada tahap lima peratus atau lebih yang diluluskan ketika pentadbiran terdahulu akan diteruskan pembinaannya oleh kerajaan ketika ini.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, bagi projek mega dengan status siap di bawah lima peratus, ia akan disemak kembali sama ada diteruskan atau sebaliknya bergantung kepada beberapa pekeliling sudah diedarkan Kementerian Kewangan sebelum ini.

Beliau berkata, sebagai kementerian dan agensi yang melaksanakannya, pihaknya akan melaksanakan projek terbabit berdasarkan kepada pekeliling yang diberikan.

“Kita akan ikut pekeliling yang diberikan yang mana ada projek ditangguhkan dan dikaji semula bergantung kepada keperluan dan keadaan semasa.

“Malah, sekiranya mengikut pekeliling itu ia adalah projek mega yang kritikal dan perlu diteruskan, jadi pihak kementerian akan meneliti dan mengkaji semula.

“Bagaimanapun, buat masa ini projek mega dengan status siap lima peratus akan diteruskan dan di bawah paras itu akan dinilai semula,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Kajian Separuh Penggal Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016- 2020 di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob; Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid.

Baru berkata, kementeriannya mencadangkan CITP yang dilaksanakan sejak 2015 itu melakukan kajian separuh penggal pada tahun ini sebagai usaha untuk menilai pencapaian keseluruhan serta keberkesanan program berkenaan.

Katanya, tujuannya adalah untuk merapatkan jurang antara tetapan petunjuk prestasi utama (KPI) dan pencapaian serta situasi sebenar dalam setiap teras strategik di bawah CITP.

“Pada asalnya, CITP mempunyai sembilan teras, 21 inisiatif dan 115 KPI aktif dan di bawah kajian separuh penggal ini, kementerian menggabungkannya kepada 36 KPI supaya ia terus menyumbang kepada pencapaian dan aspirasi CITP.

“Saya percaya ia juga langkah tepat dalam merealisasikan impak yang lebih baik menjelang 2020 seterusnya memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan di negara ini,” katanya.

CITP adalah program yang dirangka bersama penggiat industri tempatan dan antarabangsa, ahli akademik dan agensi kerajaan untuk melonjakkan industri pembinaan setanding dengan negara maju.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 12:00 PM