RAZIF (tengah) pada sidang media mengenai CIP di Kuala Lumpur, semalam.
RAZIF (tengah) pada sidang media mengenai CIP di Kuala Lumpur, semalam.
Azzman Abdul Jamal

Kuala Lumpur: Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) kini menumpukan pembiayaan awal kepada syarikat pemula niaga tempatan yang berpotensi khususnya di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Razif Abdul Aziz berkata, langkah itu adalah antara rancangan syarikat menguruskan dana lebih berkesan bagi mengatasi kekangan yang dihadapi pada masa ini.

“Bergerak ke hadapan, kami menghadapi kekangan bajet. Buat masa ini, sudah ada perbincangan mengenai sama ada peruntukan dana akan dikurangkan namun keputusan masih belum diketahui dan ini adalah antara halangan perlu diatasi.

“Maka kami perlu bertindak bijak dan menempatkan sumber dana sebaiknya. Justeru, kami memberi tumpuan kepada tiga kawasan iaitu Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

“Kami berharap untuk mempelbagaikan pengagihan pembiayaan syarikat. Contohnya di Pulau Pinang kami menumpukan kepada sektor elektrik dan elektronik kerana negeri itu terkenal sebagai peneraju sektor berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Program Pelaburan Cradle (CIP) memberikan impak signifikan kepada ekonomi negara dalam tempoh beberapa tahun dilaksanakan.

Berdasarkan kaji selidik dibuat dengan kerjasama HELP University, CIP menyumbang RM3.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sumbangan itu diunjurkan mencecah RM30.8 bilion menjelang 2030.

Laporan itu juga menunjukkan bahawa CIP turut menyumbang kepada pertumbuhan pekerjaan di negara ini.

Razif berkata, pihaknya juga berharap sektor swasta akan turut mengambil bahagian dan melabur dalam ekosistem syarikat pemula niaga memandangkan dana yang diterima daripada kerajaan semakin berkurangan.

Katanya, Cradle Fund menerima dana lebih daripada RM30 juta setahun daripada kerajaan dan boleh memanfaatkan lebih 30 syarikat pemula niaga tempatan dalam tempoh itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 4:59 PM