NAZMAN (tengah) memperkenalkan Ducati Scrambler 1100 sempena Art of Speed 2018.
NAZMAN (tengah) memperkenalkan Ducati Scrambler 1100 sempena Art of Speed 2018.
Lizam Ridzuan

Serdang: Next Bike Sdn Bhd, pengedar utama motosikal jenama Ducati di Malaysia memperuntukkan RM7 juta bagi menaik taraf dan membuka dua ruang pameran baharu tahun ini.

Ketua Bahagian Dua Roda Kumpulan Automotif Naza Corporation Holdings Sdn Bhd Nazman Shah berkata, ruang pameran itu dibuka di Kuala Lumpur dan Johor Bahru manakala bangunan sedia ada di Petaling Jaya akan dinaik taraf.

“Ruang pameran ini bakal menerima sentuhan yang menonjolkan identiti korporat standard global Ducati terbaru dalam menawarkan keselesaan dan mengukuhkan jenama dalam pasaran motosikal berkuasa tinggi di negara ini,” katanya ketika majlis pelancaran model baru Scrambler di sini.

Model Ducati Scrambler 1100 melengkapkan barisan model itu di Malaysia yang dikuasakan enjin 1,079cc L-twin sejukan udara dengan dua varian ditawarkan iaitu Special dan Sport.

Sebelum ini, Ducati Scrambler dibarisi model 803 cc terdiri daripada varian Icon, Street Classic, Classic, Full Throttle, Cafe Racer serta Desert Sled dan 400 cc dengan model Sixty2 yang menyumbang 20 peratus jualan keseluruhan Ducati di Malaysia.

“Kami menyasarkan jualan keseluruhan 300 unit tahun ini dengan perkongsian pasaran 6 peratus dan dengan pengenalan model Ducati Scrambler 1100 serta tiga model baharu tidak lama lagi ia akan memacu jualan lebih baik,” tambahnya.

Untuk pasaran Malaysia Scrambler 1100 Special dijual pada harga RM83,000 dan Scrambler 1100 Sport pada RM85,000 (semua harga atas jalan tanpa insurans) dengan tawaran dua tahun servis percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 10:13 AM