ORANG ramai di bilik pameran Perodua. FOTO arkib NSTP
ORANG ramai di bilik pameran Perodua. FOTO arkib NSTP
Sofyan Rizal Ishak dan Lizam Ridzuan

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mencatatkan jualan kenderaan sebanyak 75,500 unit bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, meningkat 17 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, penguasaan pasaran sehingga April ini mencecah 41.6 peratus di mana ia adalah satu daripada kadar tertinggi dalam industri.

“Untuk bulan April saja, penguasaan pasaran Perodua mencapai 43 peratus dan berharap momentum ini akan berterusan hingga akhir tahun ini untuk mencapai sasaran jualan tahunan 208,000 unit sekali gus mengekalkan kedudukan nombor satu jenama ini dalam pasaran," katanya pada sidang akhbar sempena majlis Iftar Ramadan Perodua 2018 di Petaling Jaya, hari ini.

Selain itu tempahan kenderaan Perodua mencatatkan peningkatan sebanyak 14.2 peratus kepada 114,000 unit bagi tempoh empat bulan pertama 2018 dan penerimaan pusat servis turut meningkat lima peratus selain perolehan alat ganti sebanyak 17 peratus.

Sementara itu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan tidak lama lagi dijangka akan memberi kesan kepada industri automotif negara terutama harga jualan kenderaan.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya perlu menyesuaikan kembali operasi perniagaan syarikat kepada sistem sebelum Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan dan menunggu keputusan kerajaan mengenainya.

“Secara perkiraan asasnya SST seolah-olah menjadikan harga meningkat tapi, kami perlu mengambil kira daripada pelbagai sudut dan berbincang dengan pihak terbabit seperti Kementerian Kewangan dan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengenai perincian dan arah tuju dengan cadangan yang dikemukakan mungkin mengambil sedikit masa,” katanya.

Petang tadi, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan SST akan dikenakan pada kadar 10 peratus apabila ia menggantikan GST kelak bagaimanapun tarikh pelaksanaanya belum diputuskan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 10:43 PM