MICHAEL  (kiri) bertukar dokumen dengan  Izham  pada majlis menandatangani MoU di Kuala Lumpur, semalam.
MICHAEL (kiri) bertukar dokumen dengan Izham pada majlis menandatangani MoU di Kuala Lumpur, semalam.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Cadangan penggabungan antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Axiata Group Berhad (Axiata) dilihat sebagai satu tindakan yang masuk akal untuk dilaksanakan oleh dua syarikat gergasi telekomunikasi itu.

Bagaimanapun, ia masih bergantung kepada pemegang saham untuk membuat keputusan mengenainya.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Michael Kuehner berkata, dua syarikat konglomerat itu adalah gergasi telekomunikasi yang mengendalikan jaringan serta rangkaian telekomunikasi yang sangat besar di Malaysia.

“Cadangan ini perlu dikekalkan kerana kami bayangkan ia berupaya untuk mewujudkan lebih banyak sinergi menerusi penggabungan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Celcom dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAB Kapten Izham Ismail.

Kerjasama antara Celcom dan MAB itu akan berkuatkuasa mulai 1 Februari ini.

Michael berkata, penggabungan antara Axiata-TM dilihat sebagai pelengkap kepada perkhidmatan mudah alih Axiata yang akan diintegrasikan dengan operasi talian tetap TM, membolehkannya mendapat bahagian pasaran daripada pemain industri seperti Maxis Bhd, Digi.com Bhd dan U Mobile, di samping mengiktiraf kenaikan pendapatan untuk keberkesanan kos.

“Kerjasama antara Celcom dan MAB itu bakal memberikan manfaat signifikan dalam pelbagai bentuk bagi kedua-dua syarikat seperti ganjaran Enrich, diskaun tiket kapal terbang dan pelan perayauan antarabangsa.

“Pelanggan Celcom dan MAB bakal menikmati pengalaman hebat melalui tawaran perkhidmatan digital dan ganjaran serba inovatif, seterusnya memperkaya gaya hidup kembara mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 12:35 AM