TENGKU Amir bersama Teng (dua dari kiri) merasmikan SIE 2017, semalam.
TENGKU Amir bersama Teng (dua dari kiri) merasmikan SIE 2017, semalam.
Nabil Basaruddin

Shah Alam: Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) 2017 dijangka menarik 15,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjurannya bermula 14 hingga 17 September ini di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana dan Pengangkutan Selangor Datuk Teng Chang Khim berkata, sasaran berkenaan menjadikan SIE 2017 antara ekspo paling ramai dikunjungi dalam tempoh tiga tahun penganjurannya berbanding 10,000 pengunjung pada 2016 dan 8,000 pada 2015.

Beliau berkata, ekspo terbabit menjadi tumpuan pemain industri serta syarikat domestik dan antarabangsa seperti negara anggota ASEAN, Jepun, China, Taiwan dan Sepanyol dengan 400 tapak pempamer dipenuhkan.

“SIE kini menjadi acara pelaburan dan perdagangan terpenting kepada Selangor dan kerajaan negeri merancang melaksanakannya pada skala besar pada penganjurannya akan datang.

“Pada tahun lalu, acara ini merekodkan transaksi perniagaan RM112 juta iaitu 124 peratus peningkatan berbanding RM50 juta pada 2015 dan kami optimis ia mampu mencapai jumlah lebih tinggi dari itu,” katanya pada majlis pelancaran SIE 2017, di sini, semalam.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan majlis pelancaran SIE 2017 yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.

SIE 2017 adalah acara komponen ketiga bagi penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2017 yang bertindak sebagai platform penting kepada syarikat tempatan dan luar negara berkongsi maklumat dan pengetahuan mengenai peluang perniagaan di Asean serta melakukan pelaburan di Selangor sebagai pintu gerbang kepada rantau terbabit.

Teng berkata, pada tahun ini SIE memberi fokus kepada dua sektor berpotensi tinggi iaitu sains hayat serta makanan dan minuman termasuklah segmen halal yang pesat ketika ini.

“Sebagai negeri paling maju dan ekonomi terbesar di Malaysia, Selangor mempunyai infrastruktur, ekosistem komersial yang kehadapan serta pelaburan kukuh.

“Perkara ini menjadikan Selangor komuniti perniagaan dalam menjadikan negeri ini hab dagangan serantau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 3:42 AM