HASAN Azhari (kiri) beramah mesra dengan wakil syarikat yang hadir pada Sambutan Aidilfitri Invest Selangor.
HASAN Azhari (kiri) beramah mesra dengan wakil syarikat yang hadir pada Sambutan Aidilfitri Invest Selangor.
Sofyan Rizal Ishak

Shah Alam: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor), agensi promosi pelaburan Selangor optimis mampu mencapai sasaran pelaburan RM6.5 bilion pada tahun ini berdasarkan pencapaian pelaburan semasa yang dicatatkan dalam tempoh enam bulan pertama 2017.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Hasan Azhari Idris berkata, pencapaian itu menunjukkan momentum bagi pelaburan Selangor masih kekal baik, sekali gus menjadikan mereka dalam landasan tepat untuk mencapai angka terbabit menjelang hujung tahun ini.

“Kami belum dapat mengumumkan jumlah pelaburan yang sudah dibawa masuk ke Selangor dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini kerana masih menunggu pengumuman rasmi daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), namun ia akan membuktikan Selangor tetap menjadi pilihan kepada pelabur tempatan dan luar negara,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Invest Selangor, semalam.

Pada tahun lalu, Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM7.8 bilion dalam sektor pengilangan membabitkan RM3.3 bilion (FDI) dan RM4.5 bilion (DDI) dengan 242 projek.

Jumlah pelaburan itu adalah peningkatan daripada sasaran disemak semula agensi terbabit iaitu RM6 bilion pada tahun lalu dengan kluster peralatan pengangkutan yang merangkumi segmen aeroangkasa dan automotif menyumbang jumlah pelaburan paling tinggi iaitu RM2.8 bilion pada tahun lalu, diikuti makanan dan minuman (RM1 bilion).

Beliau berkata, Invest Selangor akan terus agresif dalam mempromosikan peluang pelaburan yang ditawarkan Selangor kepada pelabur di luar negara bagi tempoh enam bulan akan datang.

Menurutnya, Invest Selangor akan menyertai acara Kongres Bio Dunia di Montreal, Kanada pada minggu depan bagi mempromosikan industri bioteknologi Selangor dan Selangor Bio Bay.

“Kami akan meneruskan misi pelaburan ke beberapa negara lagi di benua Eropah dan kami jangka ia memberi pulangan positif kepada Selangor kelak,” katanya.

Invest Selangor bakal menganjurkan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2017 pada 7 hingga 17 September ini di Pusat Konvensyen Bandar Setia (SCCC) bagi memberi peluang kepada syarikat tempatan dan antarabangsa untuk menerokai peluang pelaburan dan pasaran di Selangor.

Hasan berkata, terdapat tiga acara utama bagi sidang kemuncak terbabit iaitu Konvensyen Bandar Pintar dan Perdagangan Masa Depan Selangor 2017, Persidangan Perniagaan Selangor-ASEAN 2017 dan Ekspo Antarabangsa Selangor 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 4:35 AM