Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Tuan tanah yang melakukan konsep usahasama pembangunan tanah dengan pemaju diseru supaya memeriksa latar belakang syarikat pemaju dahulu sebelum meneruskannya bagi memastikan mereka tidak ditipu dan mengalami kerugian disebabkan sikap sesetengah pemaju yang tidak bertanggungjawab.

Ketua Pegawai Eksekutif IMG Global Property Consultant Sdn Bhd, Ishak Ismail berkata, mereka perlu melihat pencapaian syarikat pemaju terutama daripada aspek keupayaan dalam membangunkan sebuah projek hartanah bagi mengelakkan masalah seperti kehilangan tanah disebabkan pemaju tidak membayar cagaran kepada pihak bank atau projek pembinaan terbengkalai.

“Langkah ini penting untuk dipraktikkan memandangkan secara lazimnya pihak pemaju terutama yang berskala kecil dan sederhana tidak memiliki modal untuk membangunkan projek hartanah kerana ia bergantung kepada cagaran tanah milik tuan rumah,” katanya.

Beliau berkata, tuan tanah dinasihatkan supaya melantik perunding hartanah bertauliah bagi memastikan projek usahasama yang dijalankan itu mampu menjana keuntungan dan benar-benar memberi manfaat kepada tuan tanah.

“Selain itu, mereka perlu melantik peguam yang boleh dipercayai untuk menyemak segala butiran perjanjian, sekali gus memastikan mereka mampu mengambil tindakan undang-undang kepada syarikat pemaju yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ishak berkata, usahasama itu dilihat memberi manfaat kepada pemaju di mana mereka tidak perlu bersusah payah untuk mencari tanah dan modal, sekali gus mengelak beban kewangan disebabkan kos pembelian tanah yang semakin tinggi.

Menurutnya, tuan tanah turut menerima keuntungan daripada hasil usahasama itu di mana mereka berpeluang memperoleh unit rumah, wang tunai atau kedua-duanya berdasarkan perjanjian yang ditetapkan antara tuan tanah dan pemaju.

“Bagaimanapun, kedua-dua pihak diseru bertanggungjawab dengan tuan tanah perlu berhati-hati dalam urusan ini manakala syarikat pemaju perlu menjalankan projek pembinaan dengan baik untuk menjaga reputasi mereka, sekali gus memastikan konsep usahasama pembangunan tanah ini berjalan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:04 AM