Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menjangkakan jumlah penumpang penerbangan di Malaysia bakal melebihi 100 juta buat kali pertama pada tahun ini.

Jumlah berkenaan dijangka mencecah 105.6 juta hingga 106.1 juta berbanding seramai 99.1 juta penumpang antarabangsa dan domestik pada tahun lalu.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Abdullah Ahmad berkata, pihaknya optimis prestasi industri akan kekal positif dengan jangkaan pertumbuhan trafik menjangkaui 6.5 peratus kepada tujuh peratus pada tahun ini.

“Secara keseluruhan industri penerbangan berada pada kedudukan baik untuk mengekalkan pertumbuhan meskipun akan berdepan pelbagai cabaran seperti keuntungan operasi yang semakin mengecil dan kenaikan harga minyak,” katanya.

Menurutnya, harga minyak mentah dijangka meningkat antara 8.5 peratus hingga 10.3 peratus pada tahun ini berbanding tahun lalu berdasarkan unjuran agensi antarabangsa termasuk Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

“Ini mungkin akan memberi tekanan ke atas keuntungan syarikat penerbangan yang sedia sensitif terhadap persekitaran penerbangan tambang murah yang kompetitif,” katanya dalam kenyataan yang dipetik melalui laporan Waypoint di sini, semalam.

MAVCOM menerbitkan Waypoint iaitu laporan industri dwitahunan yang pertama bagi tahun ini di mana ia adalah sebahagian daripada komitmen Suruhanjaya itu untuk memupuk pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai industri penerbangan di Malaysia.

Beliau berkata, dua tahun lalu adalah tempoh yang kukuh bagi industri penerbangan dan ia boleh dilihat melalui pertumbuhan trafik penumpang, keuntungan operasi industri dan modal pasaran syarikat penerbangan awam tersenarai di Bursa Malaysia terutama apabila dibandingkan dengan tempoh lampau terdekat.

“Cabaran ini akan terus kekal, namun kami masih optimistik bahawa prestasi industri positif seperti tahun sebelumnya akan berterusan pada tahun ini,” katanya.

Laporan Waypoint menunjukkan syarikat penerbangan Malaysia meningkatkan kadar pertumbuhan Perolehan Tempat Duduk Kilometer Tersedia (RASK) melebihi kadar pertumbuhan Kos Tempat Duduk Kilometer Tersedia (CASK) yang membolehkan pengecilan jurang negatif antara RASK dan CASK sebanyak 42.5 peratus pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 8:48 AM