SESI taklimat Universitas Syiah Kuala.
SESI taklimat Universitas Syiah Kuala.
PERSEMBAHAN pelajar Universitas Islam Negeri Ar-Raniry.
PERSEMBAHAN pelajar Universitas Islam Negeri Ar-Raniry.
SESI pendengaran taklimat.
SESI pendengaran taklimat.
Nurul Husna Mahmud


Pengalaman penulis mengikuti program Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) Antarabangsa Indonesia ke Banda Aceh, baru-baru ini menyingkap seribu satu kenangan manis.

Bertemakan ‘Journey of Education, Network and Welfare,’ ia adalah antara program kumpulan siswa dari Sekretariat Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (SMFKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Menerusi kunjungan singkat ke Universitas Syiah Kuala dan Universitas Islam Negeri Ar-Raniry, wakil UiTM Shah Alam diketuai pensyarah kanan Dr Amirul Abd Rashid bersama 17 siswa berdialog dengan barisan tenaga pengajar dan kumpulan siswa di situ serta berpeluang meninjau sistem pengajian di Aceh.

Universitas Syiah Kuala (UNSYIAH) ialah universiti tertua di Aceh sementara Ar-Raniry pula universiti baru namun mempunyai reputasi melahirkan graduan cemerlang baik akademik mahupun agama.

Malah perbincangan singkat antara wakil kedua-dua universiti berkenaan turut membabitkan subjek Pengurusan Bencana yang diberi penekanan kepada setiap siswa tempatan tak kira bidang pengajian apa diambil.

Menurut Ketua Program Studi Teknik Mesin dari Fakultas Teknik Jurusan Teknik Mesin dan Industri Universitas Syiah Kuala Dr Iskandar ST, sejak tsunami pada 2004 yang mengorbankan lebih 200,000 nyawa, ia menjadi penanda aras kepada keperluan mewujudkan program mahupun subjek khusus berkaitan pengurusan bencana.

Meskipun Aceh sering berdepan bencana gempa bumi, situasinya berbeza dengan tsunami.

“Kami di Aceh sudah biasa dengan kejadian gempa tapi bencana tsunami 13 tahun lalu bukan perkara biasa ketika itu. Ia berlaku sangat dahsyat dan memberi kesedaran kepada kami terutama golongan intelektual betapa pentingnya mempelajari serta mengkaji langkah terbaik menghadapinya.

“Peranan itu diambil pemerintah dan kini di bawah naungan Kementerian Riset, Teknologi dan Pendidikan Tinggi mewajibkan setiap siswa universiti mengikuti program pengurusan bencana.

“Namun kesesuaian mahupun modul membabitkan isu bencana dirombak bersesuaian dengan bidang kecenderungan siswa. Umpamanya kami di Fakultas Jurusan Teknik Mesin, setiap siswa perlu mengambil subjek seperti Pengurusan Krisis dan Bencana Semulajadi.

“Kami belajar berkenaan pembinaan mesin atau teknologi tertentu mengesan dan mengenal pasti lebih awal kejadian gempa mahupun tsunami. Ia membantu mengurangkan risiko pembawaaan bencana. Selain itu latihan dan demonstrasi menghadapi bencana diadakan.

“Berdasarkan pengalaman kami, golongan intelektual antara pendukung kuat dalam pembangunan semula masyarakat selepas kemusnahan. Oleh itu, kami perlu perkukuhkan ilmu dan kemahiran bagi persiapan menghadapi bencana,” katanya.

Sementara itu, Dr Amirul menyatakan program atau subjek membabitkan pengurusan bencana tidak begitu diberi perhatian di Malaysia. Kebiasaannya ia hanya subjek sokongan atau elektif.

Selepas melihat impak dan hasil perbincangan kedua-dua universiti terbabit, subjek atau program itu perlu diberi penekanan.

“Di Fakuti Kejuruteraan kami ada subjek dipanggil ‘risk management demical machine’ yang menekankan aspek keselamatan di tempat kerja. Tiada lagi program membabitkan pengurusan bencana alam atau ‘natural causes’ secara terperinci.

“Kami melihat ia perkongsian peringkat akademik yang penting dan boleh dijadikan pertukaran bidang kajian mahupun pengajian antara UiTM bersama dua universiti berkenaan,” katanya.

Sementara wakil Universitas Islam Negeri Ar-Raniry Dr Muhammad AR pula berkata Fakultas Sains & Teknologi Ar-Raniry baru saja ditubuhkan tiga tahun lalu.

“Diharap pertukaran kajian membabitkan kepakaran teknologi dan kaedah pembelajaran membantu pelajarnya berkembang.

“Saya cukup optimis dengan kunjungan UiTM ke Aceh akan membantu meningkatkan daya penguasaan pelajar dalam bidang teknologi mesin. Berdasarkan reputasi UiTM antara universiti tertua dan terbesar membolehkan pertukaran maklumat dan ilmu mahupun fasiliti lebih moden berlangsung dengan baik,” katanya turut memaklumkan Pengurusan Bencana ialah subjek mandatori di universitinya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 12:58 PM